BELANJAWAN 2025 > BERITA

Salah Guna Logo Halal: Jangan Buat Spekulasi, Beri Ruang Proses Siasatan - Armizan

20/01/2025 03:32 PM

PUTRAJAYA, 20 Jan (Bernama) -- Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi berhubung isu penyalahgunaan logo halal membabitkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam premis di sebuah universiti awam di Kuala Lumpur, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau turut meminta semua pihak agar memberi ruang serta peluang kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat siasatan bagi membolehkan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang.

“Kita jangan ganggu siasatan, jangan beri tekanan, jangan buat spekulasi. Komitmen kita di KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) adalah untuk memastikan siasatan dilaksanakan dengan telus … ,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perutusan Hala Tuju KPDN di sini hari ini.

Pada 13 Jan lepas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam kenyataan media mengesahkan produk 'ham dan cheese' yang dijual dalam premis di universiti awam itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu bukan pemegang SPHM.

Mengenai keputusan ujian kimia ke atas sampel produk ‘ham dan cheese’ yang dijalankan Jabatan Kimia, Armizan berkata setakat ini pihaknya belum menerima keputusan berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Armizan menasihatkan mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan syarikat pengendali umrah untuk tampil membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

“Itu satu bentuk penipuan yang kita tangani kerana orang mengumpul duit untuk pergi menunaikan ibadah umrah tetapi akhirnya hasrat baik mereka tergendala disebabkan oleh perkara-perkara tertentu seperti syarikat umrah ini,” katanya.

Baru-baru ini, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor menjalankan pemeriksaan di pejabat syarikat pelancongan di Sepang susulan kegagalan syarikat itu menerbangkan lebih 300 jemaah umrah ke Tanah Suci.

Siasatan awal mendapati syarikat terbabit mula menjalankan perniagaan sejak 2022 dan beroperasi dari premis tiga tingkat di Sepang sejak Oktober tahun lepas.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil siasatan mendapati pemilik syarikat yang didakwa melakukan penipuan pakej umrah membabitkan kerugian RM2.1 juta itu mempunyai rekod lampau membabitkan kes penipuan berkaitan pelaburan di Johor tahun lepas, yang masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan