BELANJAWAN 2025 > BERITA

China Sedia Kolaborasi Dengan Malaysia Promosi Kerjasama Asia Timur Dan Integrasi Ekonomi Serantau

21/01/2025 11:58 PM

GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- China sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk mempromosikan kerjasama Asia Timur dan integrasi ekonomi serantau semasa Malaysia mempengerusikan ASEAN pada tahun ini, kata Konsul Jeneral China di Pulau Pinang, Zhou Youbin.

Beliau berkata China juga bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi mengekalkan trend  pembangunan kerjasama serantau serta menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau serta global.

“Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan semua lapisan masyarakat di empat negeri dalam daerah konsul, serta mempromosikan pembangunan kerjasama tempatan yang stabil antara China dan Malaysia.

“Konsulat Jeneral China di Pulau Pinang juga akan terus berusaha tanpa henti untuk membina Komuniti China-Malaysia yang berkongsi masa depan bersama,” katanya pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina 2025 Konsulat Jeneral China di sini, Selasa malam.

Zhou turut menekankan bahawa Pulau Pinang, Kedah, Perlis, dan Perak telah menyaksikan kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala yang berterusan, dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menegaskan komitmen negeri ini terhadap keutamaan serantau di bawah ASEAN 2025.

“Kami memikul tanggungjawab besar untuk membentuk semula ASEAN dan menekankan prinsip kepusatannya. Sebagai sebuah negeri, kami komited untuk menggalakkan kerjasama, pertukaran rentas-budaya, dan memajukan inisiatif ekonomi,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan China, berfungsi sebagai hab utama untuk pertukaran ekonomi, budaya, dan pelancongan.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lepas (2014-2023), negeri ini telah menarik pelaburan pembuatan yang diluluskan dari China bernilai RM13.2 bilion (6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan Pelaburan Langsung Asing (FDI) Pulau Pinang), dengan Kadar Pertumbuhan Tahunan Terkumpul (CAGR) sebanyak 50.5 peratus.

“Dari Januari hingga Jun tahun lepas, pelaburan pembuatan yang diluluskan dari China berjumlah RM411.8 juta. Sehingga kini, Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 53 syarikat China; 46 dalam sektor pembuatan, lima dalam Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS), dan dua dalam sektor logistik,” katanya.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan sumber utama FDI. Pelaburan China di Malaysia meningkat kepada RM10.8 bilion dari Januari hingga September 2024, menjadikannya pelabur asing kedua terbesar di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan