BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penggunaan AI Dalam Penjagaan Kesihatan Tingkat Kecekapan, Kurangkan Pembaziran - PM Anwar

22/01/2025 04:37 AM

Daripada Anas Abu Hassan

DAVOS (Switzerland), 21 Jan (Bernama) -- Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem penjagaan kesihatan bukan sahaja akan dapat meningkatkan kecekapan, malah ia juga dapat membantu mengurangkan pembaziran dari segi kos, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sejak menerajui kerajaan dua keutamaan beliau ialah pendidikan dan penjagaan kesihatan.

"Saya fikir ia adalah sangat tidak adil… dalam falsafah politik saya untuk menafikan sebahagian besar (rakyat) kemudahan kesihatan terbaik, dan sudah tentu infrastruktur asas di hospital dan AI memainkan peranan penting di dalamnya.

"Melalui AI, ia bukan sahaja meningkatkan kecekapan dan menampilkan teknologi canggih, tetapi pada masa yang sama, ia mengurangkan pembaziran dari segi kos," katanya pada sesi "Country Strategy Dialogue" di luar Forum Ekonomi Dunia (WEF) Sidang Kemuncak Tahunan 2025, di sini.

Anwar berkata demikian semasa menjawab soalan seorang peserta dalam sesi yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz itu, berhubung pandangan beliau mengenai AI dan sistem kesihatan awam.

Sementara itu Menteri Digital Gobind Singh Deo yang turut hadir pada sesi itu berkata bagi membolehkan AI berfungsi dengan baik dalam sistem penjagaan kesihatan, infrastruktur yang perlu mesti disediakan.

"Anda mempunyai banyak data, kebanyakannya masih dalam bentuk analog, dan anda perlu memikirkan cara untuk menjadikan ia digital secepat mungkin. Anda perlu mempunyai mekanisme yang membolehkan data itu dikongsi.

"Apabila anda mempunyai kemudahan AI, ia membolehkan kita mencari penyelesaian kepada masalah masa lepas, dan itu adalah langkah pertama. Akhirnya, ia adalah mengenai pembinaan ekosistem," katanya.

Beliau berkata di sinilah peranan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

“Kami bekerjasama rapat dengan pelbagai kementerian, bermula dengan Kementerian Kesihatan. Kami libatkan pegawai daripada kementerian, termasuk menteri, untuk mengenal pasti dan mengutamakan bidang tumpuan utama.”  

Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengumpul pandangan dan memahami bidang tertentu yang memerlukan perhatian segera, memastikan usaha itu disasarkan dan berkesan.

Anwar kini dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri WEF 2025, yang pertama dihadirinya sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2022.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan