BERITA TERGEMPAR   Malaysia and ASEAN should continue to engage, attract investors from the United States, Europe and China without being forced to take sides -- PM Anwar | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hospital Northern Heart Kukuhkan Kedudukan P. Pinang Dalam Pelancongan Perubatan

22/01/2025 07:18 PM

GEORGE TOWN, 22 Jan (Bernama) -- Pelancaran Hospital Northern Heart (NHH) memperkukuh kedudukan Pulau Pinang dalam pelancongan perubatan dan sebagai hab penjagaan kesihatan utama di Asia Tenggara.

NHH, hospital pakar jantung dan vaskular pertama serta satu-satunya di Pulau Pinang dan wilayah utara memaklumkan ia menawarkan perkhidmatan diagnostik serta rawatan yang komprehensif untuk penyakit kardiovaskular.

"Pelancaran hospital ini dijangka memperkukuh kedudukan negeri ini dalam industri pelancongan perubatan, yang semakin meningkat permintaannya dalam kalangan pelancong perubatan yang mencari rawatan berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

"Pulau Pinang secara konsisten tersenarai sebagai antara destinasi utama untuk pelancongan perubatan di Malaysia, menarik pesakit dari negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand," menurut hospital itu dalam kenyataan hari ini.

Pulau Pinang menyumbang 45 peratus kepada pendapatan pelancongan perubatan Malaysia, menjadikannya peneraju sektor berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NHH Kelen Leong berkata hospital itu komited menangani keperluan mendesak kesihatan kardiovaskular di rantau ini dan bertekad untuk menetapkan piawaian baharu dalam penjagaan penyakit berkenaan.

"Melalui model unik dengan pakar perubatan juga merupakan rakan kongsi hospital, matlamat kami adalah untuk memastikan setiap pesakit (tempatan atau antarabangsa) menerima rawatan berkualiti tinggi yang boleh mereka percayai," katanya.

Hospital ini secara rasmi dilancarkan semalam oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan dihadiri Pengerusi NHH Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

NHH adalah sebahagian daripada Asia OneHealthcare Sdn Bhd (sebelum ini Columbia Asia Healthcare Sdn Bhd), sebuah rangkaian yang menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan menyeluruh, termasuk rawatan sekunder, tertier, kuaternari dan rawatan pakar di seluruh Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Sejak prapembukaan pada Jun 2024, NHH telah memberi perkhidmatan kepada lebih 14,000 pesakit hingga kini.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan