BELANJAWAN 2025 > BERITA

ASEAN Ambil Pendekatan Berhati-hati Dalam Isu Myanmar, Kritikal Untuk Pastikan Keamanan - PM Anwar

22/01/2025 11:56 PM

DAVOS (Switzerland) 22Jan (Bernama) -- ASEAN mengambil pendekatan yang penuh berhati-hati dalam isu berkaitan Myanmar, kerana perkara yang paling kritikal adalah bagi menjamin wujudnya keamanan di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata pendekatan ASEAN bukanlah dalam bentuk menguatkuasakan sistem tertentu, sebaliknya  memastikan wujudnya keterangkuman dan keamanan, di samping kepentingan memelihara demokrasi.

“Petunjuk positif pertama dalam beberapa bulan kebelakangan ini adalah kesediaan untuk keterlibatan, dan saya beri jaminan kepada mereka melalui hubungan rakan-rakan dan pelbagai agensi, terutamanya agensi perisikan, bahawa kami bukan di sini untuk mengenakan apa-apa tindakan.

“Tadbir urus sistem, walaupun dalam ASEAN, sedikit berbeza. Malaysia atau Singapura atau Vietnam, Lao, mereka juga agak berbeza. Selagi mereka mewakili beberapa bentuk demokrasi, kita tidak mengenakan apa-apa paksaan,” katanya.

Anwar berkata demikian semasa sesi Pleno ASEAN bertajuk “Even Stronger Together”, mengenai keutamaan Kepimpinan ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan penting ASEAN dalam membentuk landskap ekonomi.

“Saya optimis dengan penuh hati-hati. Sudah tentu kita akan menyelaraskan dengan PBB mengenai perkara ini, tetapi ASEAN akan terus berbincang mengenainya.

“Kami telah bersetuju, malah membenarkan negara-negara, khususnya Thailand, terlibat pada peringkat yang berbeza, dan kami selaraskan,” katanya.

Anwar turut menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan keharmonian di ASEAN melalui penglibatan dan saling hormat-menghormati, sambil menambah bahawa ASEAN tidak boleh dipaksa untuk mengambil kedudukan menentang mana-mana kuasa global.

“Kami cenderung untuk melibatkan diri dan membentuk dasar yang akan menguntungkan satu sama lain kerana jika anda tidak memenuhinya, maka tidak akan ada keamanan dan ketenteraman dalam kalangan negara jiran, seperti yang anda lihat dalam kes Myanmar.

“Sebagai negara perdagangan, Malaysia sebagai rantau perdagangan (ASEAN), kami mengambil pendirian bahawa kami harus terus melibatkan diri dan menarik pelabur Amerika dan Eropah dengan lebih agresif.

Beliau berkata penglibatan dalam kalangan pihak berkuasa perisikan yang berpengaruh baru-baru ini telah menunjukkan sesuatu yang cukup meyakinkan, terutamanya dalam menetapkan parameter bagi memastikan adanya keterangkuman dalam menyelesaikan krisis.

“Perkara paling kritikal ialah keamanan mesti terjamin, dan anda tidak boleh dilihat meneruskan amalan diskriminasi, atau apa yang dianggap sebagai keganasan, dilakukan terhadap minoriti atau mana-mana kumpulan.

“… perbuatan melengahkan tindakan, akan bermakna penderitaan bagi ramai orang termasuk pelarian di Bangladesh, dan juga di Malaysia, yang terdapat 200,000 pelarian dari Myanmar. Ia benar-benar kejam, untuk menjadikan perkara ini berterusan,” katanya.

Beliau berkata pihak berkuasa Myanmar telah dimaklumkan mengenai keperluan untuk ASEAN mengambil pendirian yang kukuh, kerana kegagalan dalam tadbir urus telah menjejaskan keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Anwar juga berkata ASEAN kekal komited untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mencari penyelesaian yang mampan kepada krisis di Myanmar.

“China sangat penting sebagai jiran kami, dan kami akan terus berbaik dengan negara-negara seperti Australia, India… dan saya rasa inilah yang kita panggil dalam pemusatan ASEAN, yang kita boleh terlibat dan mengendalikan keadaan. ASEAN tidak boleh dipaksa untuk mengambil pendirian menentang mana-mana pihak sekalipun,” katanya.

Perdana Menteri seterusnya menghuraikan lebih lanjut mengenai kepentingan ketersambungan, khususnya dalam alam digital, dengan ASEAN semakin memberi tumpuan kepada kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) untuk memupuk persefahaman dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggotanya.

“Ketersambungan digital, termasuk AI, adalah penting dan rantau ini memberi tumpuan kepada isu ini untuk pemahaman yang lebih baik antara negara, tetapi sekali lagi, asasnya kekal ekonomi,” katanya.

Sesi itu dikendalikan oleh Presiden WEF Borge Brende, dengan ahli panel lain ialah Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, Duta Khas ke UNSG mengenai Myanmar Julie Bishop, Pengerusi Global Mastercard Michael Miebach dan Ketua Penasihat Bangladesh Prof Muhammad Yunus.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan