PETALING JAYA, 23 Jan (Bernama) -- PUMA Malaysia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini melancarkan jersi baharu skuad Harimau Malaya sebagai simbolik bermulanya era baharu bola sepak negara.
Majlis pelancaran jersi tersebut diadakan di sebuah pusat beli-belah di sini, menampilkan beberapa tonggak kebangsaan, antaranya Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba serta Nooa Laine yang menggayakan kedua-dua rekaan baharu jersi utama dan ‘away’ (tempat lawan), selain penampilan istimewa ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Jersi rasmi utama dan ‘away’ Harimau Malaya, seperti kebiasaan, direka dengan warna kebangsaan ikonik pasukan iaitu kuning dan hitam, melambangkan kebanggaan dan daya tahan.
Ia tampil dengan teknologi Ultraweave revolusioner PUMA yang direka untuk memberikan keselesaan ringan, fleksibiliti dan ketahanan, membolehkan pemain beraksi pada tahap tertinggi, sama ada di gelanggang tempatan atau pentas global.
“Kerjasama dengan FAM ini menandakan satu peristiwa penting bagi PUMA kerana kami dapat mengembangkan kehadiran kami dalam bola sepak Malaysia,” kata Pengarah Urusan PUMA Asia Tenggara & Oceania, Sanjay Roy, mengenai kerjasama empat tahun itu.
Sementara itu, Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin berkata kerjasama antara kedua-dua belah pihak menandakan satu lembaran baharu dan menarik untuk bola sepak Malaysia.
“Kepakaran mereka (PUMA) dalam inovasi pakaian sukan dan pengiktirafan global bukan sahaja akan menyediakan pemain kita dengan peralatan yang mereka perlukan untuk bersaing di peringkat tertinggi, tetapi juga membantu memupuk hubungan yang lebih mendalam di antara pasukan dan para penyokong.
“Bersama-sama, kita menyasarkan untuk mencipta budaya bola sepak yang lebih bertenaga di Malaysia, memberi inspirasi kepada kedua-dua pemain dan peminat, sambil kita meningkatkan sukan ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Jersi edisi terhad yang berharga RM319 itu kini boleh dibeli di kedai PUMA terpilih di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial