BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kementerian Komunikasi Kenal Pasti 67 Kawasan Perindustrian Akan Dilengkapi Kemudahan 5G - Fahmi

25/01/2025 02:11 PM

MELAKA, 25 Jan (Bernama) -- Kementerian Komunikasi telah mengenal pasti 67 kawasan perindustrian di seluruh negara untuk dilengkapi dengan kemudahan internet 5G, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata lokasi kawasan perindustrian itu dikenal pasti menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Hasrat kita adalah untuk memberikan keutamaan kepada kawasan-kawasan ini kerana manfaat 5G untuk syarikat perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) adalah sangat tinggi.

“Oleh itu, kami ingin memastikan kilang-kilang ini dapat menikmati manfaat kesalinghubungan yang pantas melalui 5G,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Kerja Hala Tuju Strategik Kementerian Komunikasi 2025 di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat juga meningkat antara dua hingga tiga peratus setiap bulan, dan hampir mencapai 53.3 peratus di seluruh negara.

Fahmi turut menekankan komitmen Kementerian Komunikasi untuk memastikan masyarakat di kawasan pedalaman menerima kemudahan sekurang-kurangnya liputan 4G sebelum ditingkatkan kepada 5G.

“Sebelum ini, kita telah melaksanakan Program Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu yang dijadualkan untuk menyelesaikan kesemua 1,661 menara menjelang Jun tahun ini, sebagai langkah pertama.

“Langkah kedua, saya jangka antara dua rangkaian 5G, mereka akan melihat hubungan strategik untuk membolehkan menara-menara di kawasan pedalaman ini dimanfaatkan untuk tujuan 5G,” katanya.

Katanya Program Jendela Fasa Dua akan melibatkan antara 2,500 hingga 3,000 lokasi di kawasan pedalaman yang masih tiada kemudahan internet.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan