BELANJAWAN 2025 > BERITA

​​​​​​​ASEAN Giatkan Strategi Hijau, Digital Di Tengah-tengah Dinamik AS-China - Tengku Zafrul

25/01/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- ASEAN sedang mempergiatkan inisiatif tenaga hijau dan inovasi digital untuk meningkatkan daya tahan rantaian bekalan dan mengekalkan peranannya dalam perdagangan global di tengah-tengah dinamik AS-China yang berkembang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata industri di seluruh rantau sedang menyesuaikan semula rantaian bekalan dengan menumpukan kepada daya tahan, manakala penggubal dasar pula memupuk kerjasama untuk mengurangkan risiko dan merebut peluang-peluang baharu.

“Mengemudi hubungan AS-China akan menjadi penting bagi Malaysia dan ASEAN kerana rantaian bekalan sangat kritikal kepada rantau ini. Banyak syarikat terlibat dengan kita. Mereka sedang melakukan penyesuaian semula berasaskan daya tahan, keselamatan dan pertimbangan komersial.

"Sebagai penggubal dasar, apabila kita melibatkan diri dengan jiran dan rakan kongsi kita, kita mesti melakukan kepelbagaian dan mengurangkan risiko," katanya dalam catatan ringkas di platform media sosial X  selepas berakhirnya Forum Ekonomi Dunia 2025 baru-baru ini.

Tengku Zafrul berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara Malaysia adalah sejajar dengan usaha serantau seperti Grid Kuasa ASEAN untuk memastikan akses kepada tenaga boleh baharu.

Beliau berkata kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital juga berupaya memberikan peluang pertumbuhan, walaupun menghadapi cabaran seperti sekatan eksport cip.

Beliau menekankan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka yang kecil dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 180 peratus.

  “Bagi Malaysia, 80 peratus eksport adalah dalam bidang pembuatan, manakala hanya 20 peratus dalam bidang pertanian. Sektor pembuatan menyumbang satu perempat, atau 25 peratus daripada KDNK kita,” katanya.

Beliau juga menekankan kekuatan kolektif ASEAN sebagai blok ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan KDNK US$3.8 trilion dan populasi 680 juta orang. (US$1 = RM4.38).

 "Dengan trajektori itu, kita sepatutnya menjadi blok ekonomi keempat terbesar," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan