BELANJAWAN 2025 > BERITA

Selangor Bakal Perketat Prosedur Pengurusan Tanah, Elak Manipulasi - MB

26/01/2025 02:48 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kerajaan Selangor akan memperketat prosedur pengurusan tanah di negeri itu bagi menutup sebarang ruang manipulasi susulan insiden pemindahan milik tanah secara tidak sah yang berlaku di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata walaupun insiden itu dikatakan berlaku sekali sahaja di PTD berkenaan, kerajaan negeri memandang serius kelemahan dalam sistem sedia ada.

“Kesalahan ini dilakukan ketika peralihan pengurusan tanah secara biasa (manual) kepada digital (e-tanah) dan ia bukan selalu dibuat, sekali sahaja. 

“Tetapi kita akan menitikberatkan peningkatan prosedur seperti proses keluar masuk data supaya ruang untuk memanipulasikan sistem dapat ditutup sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Green House di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves di sini hari ini. 

Amirudin berkata kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat mengikut tata kerja dan peraturan disiplin perkhidmatan awam. 

“Langkah ini termasuk mengadakan siasatan dalaman (domestic inquiry) melalui jawatankuasa disiplin, tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu. Jika terbukti bersalah, kita akan menyusuli tindakan selepas itu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, hanya PTD Klang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan berkenaan namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan wujud kes serupa di pejabat tanah lain.

“Ia bukan satu kerja mudah dan tidak mungkin dilakukan seorang diri. Kemungkinan terdapat komplot antara beberapa individu termasuk daripada jabatan IT atau jabatan lain.

"Ini termasuk pegawai yang mengenal pasti senarai tanah lapangan, unit IT yang mengubah data, dan beberapa individu lain. Semua ini bergerak bersama, ia tak boleh diselesaikan dengan seorang sahaja terlibat,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan 'orang dalam' di PTD Klang dan membawa penahanan 17 individu, sejak September lepas kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.

Sementara itu, Projek Green House berkenaan adalah sebahagian daripada Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024, bertujuan memperkenalkan teknologi pertanian inovatif dalam meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan. 

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata projek dilaksanakan di 50 lokasi terpilih seluruh negara dengan teknologi yang diperkenalkan ialah Microfarm dan Greenkit yang menggunakan konsep pengairan sendiri untuk meningkatkan produktiviti tanaman dalam ruang terhad.

Selain tidak memerlukan tenaga elektrik kerana hanya bergantung pada tekanan graviti untuk pengairan, sistem ini juga dilengkapi dengan struktur pelindung hujan dan jaring kalis serangga untuk melindungi tanaman daripada cuaca ekstrem dan serangan perosak. 

Ia sekali gus membolehkan pekebun menghasilkan sayur-sayuran segar dengan kualiti lebih baik serta mengurangkan kos sara hidup dan bergantung kepada sumber makanan lebih selamat serta berkualiti.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan