PENAMPANG, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 4,482 Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dibina setakat Oktober tahun lepas setelah dilancarkan pada tahun 2022, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata 3,000 rumah SMJ lagi akan dibina tahun ini di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, dengan peruntukan RM250 juta.
“Selain pembinaan projek perumahan kos rendah dan perumahan awam mampu milik, kerajaan juga meneruskan pembinaan Rumah Mesra SMJ,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skim Rumah Rakyat Sabah (SRRS) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Isnin Aliasnih.
Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian lebih menyeluruh terhadap rakyat agar mampu memiliki rumah yang selesa untuk semua peringkat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Justeru, Ketua Menteri itu berkata SRRS akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 orang yang layak untuk membeli rumah pertama mereka di lokasi bandar utama dengan harga jualan tidak lebih daripada RM500,000 serta syarat kemasukan yang mudah.
Beliau berkata pelancaran SRRS membuka lembaran baharu dan penting dalam usaha kerajaan negeri menjana pembangunan ekonomi negeri, selain meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Sabah.
Hajiji berkata SRRS sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan setiap rakyat di negeri itu memiliki rumah sendiri.
“Peningkatan kos sara hidup menyebabkan rakyat berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran untuk memiliki rumah, khususnya di kawasan bandar utama seperti Kota Kinabalu.
“Pembangunan hartanah menjadi pemacu utama bagi kesan gandaan ekonomi, merangsang keseluruhan rantaian bekalan pasaran apabila proses perancangan, pembinaan dan jualan mewujudkan aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada sektor-sektor seperti pembinaan, kewangan, peruncitan, pengangkutan serta teknologi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial