BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ilmu Tanpa Nilai Murni Berpotensi Lahirkan Individu Korup, Tidak Bertanggungjawab - Raja Permaisuri Agong

26/01/2025 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Pendidikan yang hanya mengajar ilmu tanpa menyemai nilai-nilai murni akan melahirkan individu yang berpotensi menjadi korup dan tidak bertanggungjawab, titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Seri Paduka Baginda bertitah keadilan menuntut penyemaian ilmu yang benar, manakala ilmu yang palsu dan menyesatkan akan membawa kepada ekstremisme dan ketidakadilan.

“Justeru, ilmu kebenaran adalah amat penting dan diperlukan untuk menjamin masa depan manusiawi yang lebih baik,” titah Seri Paduka Baginda pada Persidangan Diraja Berkenaan Islam dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kampus Kuala Lumpur hari ini.

Titah Raja Permaisuri Agong pada persidangan bertemakan Keadilan dalam Islam: Konsep, Sejarah dan Cabaran Masa Kini itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam Titah Diraja, Seri Paduka Baginda turut menekankan kepentingan untuk bermuhasabah dan sentiasa mencari panduan serta penyelesaian ke arah masa depan yang lebih harmoni dan sejahtera untuk kemanusiaan sejagat.

Persidangan itu dianjurkan oleh UTM, Pusat Pengajian Lanjutan Islam, Sains dan Ketamadunan Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ).

Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Raja Zarith Sofiah turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku Sejarah Islam di Alam Melayu: Antara Fakta dan Rekaan oleh Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, yang menterjemahkan karya asal Historical Fact and Fiction oleh Prof Diraja Tan Sri Dr  Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan menyaksikan penyerahan cek oleh QSR Brands (M) Holdings Bhd, yang diwakili Pengarah Urusannya Nehchal Khanna kepada Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan