BELANJAWAN 2025 > BERITA

Potongan 50 Peratus Kadar Tol Semasa Musim Perayaan Ringankan Beban Rakyat

26/01/2025 09:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Keputusan kerajaan untuk memberikan potongan 50 peratus bagi kadar tol sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada Rabu ini dilihat sebagai langkah yang tepat dalam meringankan beban kewangan rakyat ketika musim perayaan.

Keputusan yang diambil oleh kerajaan itu mendapat respons positif daripada orang ramai dengan rata-rata mereka berpandangan bahawa langkah tersebut wajar demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Suri rumah, Masiah Nasran, 57, menyifatkan keputusan tersebut sebagai tindakan yang sangat tepat terutamanya dengan peningkatan pelbagai bentuk bantuan yang diberikan kepada rakyat pada ketika ini.

“Bagi saya, potongan tol separuh itu adalah langkah terbaik kerana selain itu, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dinaikkan,” katanya ketika ditemui Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.

Masiah turut mengalu-alukan usaha kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan sempena musim perayaan, yang dilihat dapat meringankan beban kewangan isi rumah, khususnya bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung halaman.

Senada dengan itu, Muhammad Firman Shah, 20, turut menyokong inisiatif kerajaan tersebut dan berpendapat bahawa langkah ini memberikan lebih manfaat kepada rakyat berbanding sekiranya tol diberikan secara percuma.

“Bagi saya, ini adalah langkah terbaik kerana jika tol diberikan percuma, ia mungkin tidak memberikan hasil kepada kerajaan. Jadi, dengan potongan 50 peratus ini, ia masih dapat membantu rakyat sambil memastikan keberlanjutan sumber kewangan negara,” katanya.

Pada Jumaat lepas, kerajaan telah bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025, bermula pada pukul 12.01 tengah malam 27 Jan 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada pukul 11.59 malam 28 Jan 2025 (Selasa).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak 2023 hingga 2024, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan.

Seorang kerani pentadbiran, Zaliha Baha, 40, berharap kerajaan dapat memberikan potongan bayaran tol semasa Hari Raya Aidilfitri nanti, khususnya kepada pemilik kenderaan berkapasiti enjin 1.3 cc ke bawah kerana golongan ini lazimnya berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sekiranya golongan sasar ini menerima diskaun atau pengecualian tol, sudah semestinya ia menjimatkan perbelanjaan semasa balik kampung dan dapat menyambut perayaan dengan lebih bermakna,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina kali ini mendapati ramai yang memilih untuk menggunakan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung halaman.

Seorang pelajar sarjana dalam bidang farmasi dan onkologi di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kampus Ipoh, Nurul Anissa Zamri, 32, berkongsi pengalamannya yang sudah enam tahun berulang-alik menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk pulang ke kampung halamannya di Kuala Lumpur.

"Sebagai pelajar, saya memanfaatkan pas pelajar yang membolehkan saya menikmati diskaun 40 peratus untuk tiket ETS, jadi saya hanya perlu membayar RM25 untuk kelas Gold yang berharga RM42. Sejak 2019, saya telah menggunakan perkhidmatan ini," katanya.

Pekerja swasta Christina Teh, 30, yang akan pulang dari Selangor ke kampung halamannya di Ipoh pada Selasa ini dengan menggunakan ETS berkata beliau memilih menggunakan pengangkutan awam semasa musim perayaan kerana sangat menjimatkan perbelanjaannya.

"Kalau memandu kereta, ia bukan sahaja memenatkan badan kerana terpaksa menempuh kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya tetapi perbelanjaan juga meningkat kerana saya perlu banyak mengeluarkan kos seperti minyak dan tol, selain perlu memikirkan penyelenggaraan kereta sebelum balik kampung,” katanya.

Seorang warga emas, Teng See Heng, 75, dari Kangar, Perlis, berkata beliau memilih menaiki kereta api ke Butterworth sebelum terbang ke Singapura sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, ia telah menjadi rutinnya sejak lima tahun lalu selepas kematian isteri di mana beliau akan bercuti dan menyambut perayaan tersebut sekurang-kurangnya seminggu di Singapura kerana tiga anaknya bekerja dan menetap di sana.

“Lebih senang naik pengangkutan awam, lagipun saya warga emas jadi dapat harga lebih murah untuk perjalanan komuter dari Arau, Perlis. Cuma hari ini, ramai yang mungkin mengambil peluang untuk bercuti dan pulang ke kampung,” katanya.

Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) kampus Kelantan, Li Jia, 20, berkata memang menjadi rutinnya untuk menaiki pengangkutan awam untuk perjalanan pulang ke kampung halaman di Arau, Perlis.

"Harga tiket bas ekspres kalau dari Kota Bharu (Kelantan) ke Arau sekitar RM43. Kalau saya nak datang ke Pulau Pinang pula untuk berjumpa kawan-kawan sebelum Tahun Baharu Cina, saya lebih suka naik kereta api kerana lebih murah dan tidak sangkut dalam kesesakan lalu lintas sekarang ini," kata pelajar bidang perubatan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan