BELANJAWAN 2025 > BERITA

New Zealand Longgar Peraturan Visa Benar Pelawat Bekerja Sambil Melancong

27/01/2025 10:18 PM

WELLINGTON, 27 Jan (Bernama-Xinhua) -- Kerajaan New Zealand melonggarkan peraturan visa pelawat untuk membolehkan pelancong bekerja secara jarak jauh untuk majikan luar negara semasa melawat New Zealand, dalam usaha terbaru untuk meningkatkan pelancongan dan pertumbuhan ekonomi, lapor Xinhua.

Kerajaan menjadikan negara itu lebih menarik kepada "nomad digital" iaitu individu yang bekerja secara jarak jauh semasa melancong seperti pakar IT, yang akan meningkatkan daya tarikan New Zealand sebagai destinasi pelancongan, kata Menteri Pertumbuhan Ekonomi Nicola Willis pada Isnin.

Pelancongan ialah penyumbang eksport kedua terbesar New Zealand, menjana pendapatan hampir 11 bilion dolar NZ (US$6.26 bilion) dan mewujudkan hampir 200,000 pekerjaan, kata Willis.

"Perubahan itu akan membolehkan ramai pelawat melanjutkan tempoh penginapan mereka yang akan menyebabkan lebih banyak wang dibelanjakan di negara ini," kata Menteri Imigresen Erica Stanford.

Visa pelawat kini akan membolehkan individu bekerja secara jarak jauh untuk majikan luar negara mulai Isnin semasa mereka bercuti di New Zealand, katanya, sambil berkata sesiapa yang berhasrat untuk bekerja secara jarak jauh melebihi 90 hari perlu mempertimbangkan kemungkinan implikasi cukai.

Menteri Pelancongan Louise Upston berkata banyak negara menawarkan visa nomad digital dan New Zealand menyasarkan untuk menjadi destinasi menarik bagi mereka yang ingin "bekerja" di luar negara, kerana cara bekerja menjadi semakin digital dan fleksibel.

"Berbanding dengan jenis pelawat lain, pekerja jarak jauh antarabangsa berpotensi untuk menghabiskan lebih banyak masa dan wang di New Zealand, termasuk semasa musim peralihan," kata Upston.

Bagaimanapun, pelawat yang pekerjaannya memerlukan mereka berada di New Zealand seperti wakil jualan syarikat luar negara, penghibur dan orang yang datang bekerja untuk majikan di New Zealand, masih perlu mendapatkan visa yang berkaitan dengan situasi mereka, menurut kerajaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan