KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kejayaan menjuarai kejohanan badminton Indonesia Masters 2025 pada Ahad, membawakan pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun menduduki ranking ke-12 dunia, yang terbaik dalam karier mereka.
Berdasarkan kepada ranking dunia Federasi Badminton Dunia (BWF) terkini, Wei Chong-Kai Wun naik satu tangga daripada ke-13 dunia dengan 65,490 mata.
Pasangan pilihan keenam kejohanan itu, melakukan kejutan apabila membuatkan penonton di Istora Senayan, Jakarta terdiam selepas mereka mengalahkan pasangan tuan rumah yang juga pilihan utama kejohanan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 21-11, 21-19, dalam masa 38 minit, sekali gus menjuarai Masters Indonesia 2025.
Sementara pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah yang menduduki tempat kedua pada kejohanan yang sama, kembali menduduki kedudukan kelima, menyamai kedudukan terbaik mereka yang dicapai pada Januari 2023.
Pearly-Thinaah, yang sebelum ini menduduki ranking ke tujuh dan gagal menjuarai gelaran pertama mereka tahun ini selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong 12-21, 21-17, 18,21, kini menduduki rankingkelima dengan 77,220 mata.
Bagaimanapun ranking terkini BWF kali ini tidak mencatatkan perubahan besar kepada pemain utama badminton Malaysia yang lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial