BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelajar MARA Di Jordan Mampu Tampung Keperluan Dalam Industri Halal

28/01/2025 07:09 PM

KUANTAN, 28 Jan (Bernama) -- Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pelajaran pada peringkat pengajian tinggi di Jordan dilihat mampu menampung keperluan tenaga mahir dan pakar dalam pelbagai bidang antaranya bagi membangunkan industri halal negara.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hal ini kerana kerajaan pada waktu ini sedang melihat secara holistik dalam membangunkan ekosistem halal seiring dengan pengalaman luas negara yang terkenal di mata dunia setelah berjaya dari segi kewangan dan perbankan Islam.

"Kita akan mempertimbangkan untuk meningkatkan bilangan pelajar MARA ke universiti di Jordan kerana kita bukan sahaja mahu mereka menerima pendedahan di luar negara, bahkan menguasai bahasa Arab dan pelbagai ilmu terutama dalam jurusan Fiqh dan Usul Fiqh.

"Hal ini penting untuk kita salurkan mereka dalam pelbagai bidang termasuk industri halal Malaysia yang sedang dibangunkan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPH) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, iaitu dari segi dasar halal dan pelan induk halal, pastinya ia memerlukan ramai tenaga mahir serta pakar yang boleh dijadikan tulang belakang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) sesi 2024/2025 UCYP University Tajaan MARA dan Yayasan Pahang di sini hari ini.

Sebanyak 103 pelajar tajaan MARA melalui Young Talent Development Programme (YTP) berjaya menamatkan kursus berkenaan dan bersedia melanjutkan pengajian di tiga universiti di Jordan iaitu Universiti Jordan, Universiti Al AlBayt dan Universiti Mu'tah.

Sementara itu, 20 pelajar tajaan Yayasan Pahang yang turut menyertai program ini akan memulakan pengajian tahun pertama mereka dalam program berkembar 2+2 antara Kolej Yayasan Pahang (KYP) dengan Universiti Yarmouk, Jordan dalam bidang ekonomi dan perbankan Islam.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata pendekatan berkenaan turut selari dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan peraturan kendiri pada peringkat dalaman daripada segala aspek halal yang ia bukan sekadar pensijilan halal, tetapi suatu proses yang dapat dipantau secara berterusan pada masa hadapan.

"Kalau kita hanya berharap kepada sijil halal dan audit secara berkala daripada pihak berwajib, sudah tentu kita menghadapi kekangan kerana bilangan syarikat terlibat begitu besar.

"Sebab itu kita memerlukan kepakaran mereka yang ada kefahaman asas dalam syariah bagi industri halal ini sebagaimana kita membangunkan bidang kewangan dan perbankan Islam dahulu," katanya.

Mengenai tinjauan dilakukan ke beberapa institusi pendidikan MARA sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata beliau akan terus memantau segala kemudahan disediakan agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

"Saya kini menekankan kepada pihak pengurusan MARA agar memantau secara berterusan bagi keselesaan warganya dan difahamkan terdapat 344 institusi di bawah MARA dan saya akan melawat kesemuanya jika ada ruang dan waktu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan