BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tanah Runtuh: Pindah Ke PPS Jika Diarahkan

29/01/2025 11:55 PM

MIRI, 29 Jan (Bernama) -- Penduduk yang tinggal di kawasan berisiko tanah runtuh dinasihatkan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan berbuat demikian oleh pihak berkuasa.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin berkata ini adalah untuk mengelakkan insiden yang meragut lima nyawa di Kampung Lereng Bukit di sini berulang.

“Pindahlah sekiranya diarahkan berpindah ke PPS. Kita tidak mahu kes seperti ini berulang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat pusat kawalan operasi kejadian tanah runtuh Kampung Lereng Bukit di sini hari ini.

Lee berkata selain Kampung Lereng Bukit, kawasan lain dikenal pasti berisiko tinggi tanah runtuh di Miri ialah Kampung Haji Wahid, Kampung Katong Lopeng dan Jalan Woodhouse yang berdekatan kediamannya.

Beliau berkata pihak berwajib akan mengadakan rondaan di kawasan terlibat dan sekiranya ada ancaman tanah runtuh, penduduk akan diminta berpindah serta-merta demi keselamatan mereka.

“Semua pihak harus bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya kejadian tersebut kerana cuaca hujan diramalkan berterusan hingga akhir bulan ini,” katanya.

Menurut Lee, beliau telah meminta Residen Bahagian Miri untuk menambah jumlah PPS sekiranya diperlukan.

Dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit pada 2.58 pagi tadi, seorang lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 17 hingga 71 tahun maut. 

Mereka daripada dua keluarga yang tinggal bersebelahan di satu lot tanah manakala tujuh mangsa lain terdiri daripada dua lelaki dan lima wanita berusia antara 14 hingga 60 tahun terselamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan