BELANJAWAN 2025 > BERITA

CIMB Securities Unjur Jualan Kenderaan Baharu Susut Tujuh Peratus Pada 760,000 Unit

31/01/2025 11:35 AM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi kenderaan baharu dijangka susut sebanyak tujuh peratus tahun ke tahun kepada 760,000 unit pada 2025 daripada 816,674 unit tahun sebelumnya, kata CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam nota tinjauannya hari ini, ia berkata unjuran itu terutamanya disebabkan oleh potensi cabaran seperti penyasaran subsidi bahan api RON95 pada pertengahan 2025.

“Namun, kami menjangkakan permintaan yang berdaya tahan dalam segmen sub-RM100,000 yang kekal didominasi oleh jenama nasional selain model tertentu pengeluar Jepun,” katanya.

CIMB Securities juga menjangkakan model sub-RM100,000 menyumbang kira-kira 75 peratus daripada TIV Malaysia pada tahun lepas dengan 80 peratus penguasaan jenama nasional dalam segmen itu manakala baki 20 peratus mewakili jenama Jepun dan China.

“Kami menjangkakan permintaan ini kekal memberangsangkan dalam unjuran 2025, disokong oleh faktor pembeli kereta pertama, kenaikan gaji penjawat awam pada Disember 2024 selain persekitaran kadar faedah akomodotif oleh Bank Negara Malaysia,” katanya.

Selain itu, CIMB Securites turut mengunjurkan kadar dasar semalaman (OPR) yang lebih stabil bagi tahun ini.

Menurutnya, OPR yang stabil serta rancangan kerajaan untuk mengekalkan subsidi bahan api untuk 85 peratus pengguna RON95 sepertimana digariskan dalam Belanjawan 2025, dijangka membantu dari segi mengekalkan kemampuan bagi segmen pasaran massa.

“Oleh itu, kami menjangkakan jenama nasional akan mengekalkan penguasaan dengan unjuran bahagian pasaran 64.5 peratus berbanding 35.5 peratus untuk jenama bukan nasional pada 2025," katanya.

Dalam pada itu,CIMB Securities mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor automotif tempatan berikutan prospek pertumbuhan lemah di tengah-tengah persaingan pasaran yang kian sengit daripada penggiat China.

Ia turut menyifatkan pemangkin utama sektor automotif itu adalah pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun, pengurangan kadar faedah dan galakan dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan permintaan domestik.

 "Sime Darby kekal sebagai pilihan utama bagi sektor ini susulan pengambilalihan UMW Holdings yang meningkatkan lagi pendapatan, pendedahan yang kian ketara terhadap sektor perlombongan Australia selain potensi pengewangan aset bukan teras dan tanah simpanan,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan