BELANJAWAN 2025 > BERITA

TPM, Menteri Ucap Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2025

31/01/2025 06:45 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan menteri Kabinet hari ini mengucapkan selamat menyambut Hari Wilayah Persekutuan 2025 kepada seluruh warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menerusi hantaran di Facebook berkata sambutan Hari Wilayah tahun ini yang bertemakan ‘Wilayah Persekutuan Kita’, mengingatkan semua pihak bahawa wilayah itu milik bersama yang perlu dijaga dan dimajukan.

“Sebagai pusat pentadbiran ekonomi dan kebudayaan negara, Wilayah Persekutuan terus berkembang berkat usaha dan kesepakatan kita semua. Marilah kita teruskan semangat perpaduan dan kemakmuran ini, agar Wilayah Persekutuan kekal sebagai kebanggaan generasi akan datang. Wilayah Persekutuan Kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata Wilayah Persekutuan merupakan contoh keunikan Malaysia dengan pelbagai bangsa, budaya dan agama hidup harmoni.

“Kita telah bersama-sama membina sebuah wilayah yang bukan sahaja maju, tetapi juga penuh dengan semangat perpaduan dan kemakmuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron juga menyeru rakyat untuk terus memperkukuh semangat kerjasama dan saling menghormati bagi memastikan Wilayah Persekutuan terus berkembang pesat dari setiap aspek.

“Semoga Hari Wilayah Persekutuan ini memberi inspirasi kepada kita semua untuk terus berusaha dan berkhidmat demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan