BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemasangan Papan Tanda Rumah Besar Raja Bilah Mudahkan Pelancong - PHS

01/02/2025 02:53 PM

BATU GAJAH, 1 Feb (Bernama) -- Pemasangan papan tanda Rumah Besar Raja Bilah di pekan Papan di sini adalah inisiatif bagi memudahkan pelancong dan masyarakat setempat mendapat maklumat khusus berkaitan tapak warisan bersejarah berkenaan.

Presiden Persatuan Warisan Perak (PHS) Mohd Tajuddin Mohd Tahir berkata pemasangan papan tanda itu turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Geopark Lembah Kinta, Areca Book, Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) dan waris keluarga Raja Bilah. 

"Papan tanda ini berfungsi membantu pengunjung luar negara dan masyarakat tempatan mengetahui serba sedikit latar belakang sejarah rumah besar ketika berkunjung ke sini dan kemudian menyampaikan kepada yang lain. 

"Selain itu, ia mampu berfungsi sebagai pemangkin untuk mencetuskan minat dalam usaha pelestarian pekan Papan sebagai antara tarikan pelancongan utama di Perak dan Malaysia amnya," katanya pada sidang media selepas majlis ringkas pemasangan papan tanda berkenaan di sini hari ini. 

Turut hadir pada majlis itu generasi keempat Raja Bilah, Ameen Abdullah, 77, dan waris ahli keluarga besar Raja Bilah hingga ke generasi keenam. 

Mohd Tajuddin berkata Rumah Besar Raja Bilah yang dibina pada 1896 merupakan ikon warisan yang menjadi tarikan utama kepada pekan Papan yang pernah menjadi simbol kegemilangan perlombongan bijih timah pada akhir abad ke-19.

"PHS berharap Rumah Besar Raja Bilah ini tidak dipinggirkan kerana di sinilah dahulunya perkampungan warisan Melayu Mandailing utama di Perak yang sudah berusia hampir 145 tahun.

"Rumah besar ini menyaksikan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum antaranya Melayu Mandailing, Cina, India dan Eropah di Papan yang ketika itu di bawah pentadbiran Raja Bilah serta anaknya Raja Yacob selaku penghulu ketika itu," katanya.

Sementara itu, generasi kelima Raja Bilah, Aziah Abdullah, 47, berkata pihaknya amat berharap rumah besar bersejarah itu akan terus dipelihara agar kekal buat tatapan generasi akan datang.

"Setakat ini saya menjadi individu yang memegang kunci rumah ini dan boleh dikatakan setiap minggu atau hari berkelapangan saya akan datang ke sini memantau kawasan sekeliling.

"Kami bimbang berlaku kecurian selain amalan khurafat bertentangan agama dilakukan di dalam rumah atau kawasan sekelilingnya, itu yang kena pantau," katanya.

Beliau berkata ketika ini rumah terbabit terpaksa ditutup untuk orang ramai kerana terdapat kebocoran besar di bahagian bumbung dan bimbang boleh mencederakan pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan