BELANJAWAN 2025 > BERITA

Perdagangan Uzbekistan-Malaysia Meningkat Kepada US$102.4 Juta Pada 2024

01/02/2025 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Uzbekistan dan Malaysia telah mengukuh dengan ketara sejak lapan tahun lalu, dengan perolehan perdagangan meningkat daripada US$65.5 juta (RM292 juta) pada 2017 kepada US$102.4 juta (RM456 juta) pada 2024.

Pusat Penyelidikan dan Pembaharuan Ekonomi Uzbekistan (CERR) dalam satu kenyataan berkata eksport meningkat 1.3 kali ganda, manakala import meningkat 1.6 kali ganda, mencerminkan minat bersama yang semakin meningkat dalam perdagangan antara kedua-dua negara.

Sepanjang lapan tahun lalu, CERR berkata barangan eksport utama Uzbekistan ke Malaysia termasuklah baja kimia dan perkhidmatan, manakala import didominasi oleh minyak sawit, minyak haiwan dan sayuran, bahan kimia dan detergen, produk makanan, barangan siap serta perkhidmatan.

“Eksport Uzbekistan berjumlah US$6 juta, dengan 41 peratus terdiri daripada produk makanan, termasuk sayur-sayuran, kekacang dan buah-buahan, dan 55 peratus terdiri daripada bahan kimia dan terutamanya baja pada 2024.

“Import dari Malaysia pada 2024 berjumlah US$96.4 juta, termasuk 23 peratus produk makanan (serbuk koko, ekstrak kopi, sos dan gula-gula); 44 peratus lemak haiwan dan sayuran (termasuk minyak sawit dan kelapa); 14 peratus bahan kimia (detergen dan campuran berasaskan alkohol); sembilan peratus jentera dan peralatan pengangkutan; empat peratus perkhidmatan pengangkutan, dan 2.1 peratus produk perubatan,” menurut kenyataan itu.

CERR berkata kerjasama pelaburan antara Uzbekistan dan Malaysia menunjukkan potensi besar untuk pertumbuhan dan pembangunan.

“Sehingga 1 Jan 2025, 36 perusahaan dengan pelaburan Malaysia didaftarkan di Uzbekistan, mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam pasaran Uzbekistan.

“Antara 2017 dan 2024, jumlah keseluruhan pelaburan langsung asing dan pinjaman dari Malaysia ke Uzbekistan berjumlah US$12.9 juta.

CERR menambah bahawa sektor utama pelaburan Malaysia termasuk pengeluaran makanan, pembuatan barangan kulit, dan perdagangan borong.

“Kerjasama perdagangan dan ekonomi antara Uzbekistan dan Malaysia mempunyai potensi besar untuk pembangunan selanjutnya.

“Minat bersama yang semakin meningkat dalam perdagangan dan pelaburan menyediakan peluang untuk mengukuhkan hubungan dalam sektor utama ekonomi. Kerjasama ini boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan peningkatan taraf hidup.

“Untuk memastikan kejayaan pembangunan hubungan, pendekatan yang komprehensif perlu diterima pakai, memanfaatkan sepenuhnya peluang yang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan