KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sarawak berkurangan namun masih melepasi angka 12,000 orang pagi ini manakala di Sabah merekodkan peningkatan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding malam tadi.
Di SARAWAK, sebanyak 12,116 mangsa masih di tempatkan di 62 buah PPS setakat 8 pagi tadi dengan enam bahagian terjejas, berbanding 12,423 mangsa malam tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, jumlah mangsa dipindahkan di Bahagian Bintulu (melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh) adalah 5,184 orang dan Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) seramai 2,617 mangsa,
Bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) pula merekodkan 1,926 mangsa; Bahagian Sibu (daerah Sibu, Selangau dan Kanowit) 1,189 mangsa; Bahagian Miri (daerah Miri, Subis dan Beluru) mangsa yang dicatatkan adalah 1,138 orang; manakala Bahagian Mukah (daerah Mukah dan Matu) 62 orang.
Di SABAH, jumlah mangsa banjir sedikit meningkat kepada 1,651 orang daripada 537 keluarga pada pukul 8 pagi ini, berbanding 1,485 orang daripada 493 keluarga pada malam tadi.
Sekretariat JPBN Sabah melaporkan daerah Tongod yang pulih petang semalam, kembali dilanda banjir dengan dua PPS dibuka, menjadikan lima daerah yang masih dilanda banjir.
Pitas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 819 mangsa (301 keluarga), diikuti Lahad Datu kekal dengan 520 mangsa (140 keluarga), Tongod dengan 155 mangsa (41 keluarga), Beaufort kekal dengan 110 mangsa (32 keluarga) dan Paitan dengan 47 mangsa (23 keluarga).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial