Oleh Ammar Shafiq Hamzah
BINTULU, 3 Feb (Bernama) -- Dikelilingi air sejak hampir sebulan, rumah panjang Malo yang terletak di Nanga Penyarai kira-kira dua jam perjalanan melalui sungai dari pekan Tatau di sini, kini seakan pulau kecil yang terasing akibat banjir.
Rumah panjang itu terputus hubungan apabila satu-satunya jalan darat ke pekan terdekat tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.
Tuai Rumah Malo, Jaah, 66, menyifatkan bencana banjir pada kali ini sebagai dugaan terbesar yang pernah dihadapi penduduk rumah panjang 44 pintu itu yang mula dibina pada tahun 2000.
Dia berkata kawasan rumah panjang yang dibina berhampiran sungai itu memang pernah dinaiki air sebelum ini tetapi tidak mengambil masa begitu lama untuk surut.
“Hujan mula melanda sejak pertengahan bulan lepas…hingga kini air belum surut dan hujan masih berlaku. Penduduk tidak dapat keluar mencari rezeki dan tanaman pula banyak yang musnah, jadi buat masa ini kami boleh cari ikan sahaja.
“Banjir kali ini memang paling dahsyat, tidak pernah lagi seperti ini. Semua kawasan di daerah Tatau terjejas, jalan putus dan rumah tenggelam. Nasib baik rumah panjang kami dibina sedikit tinggi jadi terselamat daripada ditenggelami air,” katanya kepada Bernama.
Selain rumah panjang Malo, kawasan sekitar rumah itu seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Penyarai dan Klinik Kesihatan Kakus turut terjejas akibat dinaiki air.
Penolong kanan SK Nanga Penyarai Mohd Faishal Ibrahim yang telah berkhidmat di sekolah itu lebih 20 tahun, berkata buat masa ini terdapat kira-kira 100 orang yang terkandas di kawasan Nanga Penyarai termasuk lima staf sekolah dan tiga staf klinik Kakus.
“Jalan darat memang tidak boleh dilalui, jadi satu-satunya cara untuk ke pekan Tatau ialah dengan menggunakan bot. Masalahnya, kami kekurangan minyak untuk bot dan jenerator hingga terpaksa buat catuan. Tenaga solar pula tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana cuaca mendung,” katanya.
Semalam, Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus Datuk Seri John Sikie Tayai berkata 14 tan bekalan makanan telah dihantar kepada mangsa banjir di kawasan pedalaman daerah Tatau, kira-kira 50 kilometer dari pusat bandar Bintulu.
Misi penghantaran makanan melibatkan pelbagai agensi yang digerakkan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau itu, telah dilaksanakan menerusi pengangkutan air dan udara.
Antara kawasan yang menerima bantuan makanan adalah kawasan Nanga Penyarai dan Nanga Tau.
Setakat pagi ini, satu-satunya pusat pemindahan sementara di Tatau iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau yang dibuka pada 29 Jan lepas, menempatkan 712 mangsa daripada 216 keluarga.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial