BELANJAWAN 2025 > BERITA

Prospek Permintaan Pusat Data Di ASEAN Kekal Positif - Maybank IB

03/02/2025 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Prospek permintaan pusat data di ASEAN kekal positif berikutan rantau ini masih berada di peringkat awal kitaran pembinaan pusat data, menurut Maybank Investment Bank (IB) Bhd.

Dalam nota, Maybank IB berkata permintaan pengkomputeran awan di ASEAN terus menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 20 hingga 30 peratus, menyediakan asas yang stabil kepada pengendali pusat data.

Baru-baru ini, kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan langkah-langkah kawalan penyebaran kecerdasan buatan (AI) yang mewujudkan kebimbangan mengenai pembinaan pusat data di ASEAN disebabkan sekatan bekalan unit pemprosesan grafik (GPU).

Maybank IB menekankan rangka kerja penyebaran oleh AS masih dapat disesuaikan untuk mempengaruhi kadar di ASEAN.

“Perkembangan Model Bahasa Besar (LLM) yang lebih cekap dijangka mempercepat dan menjadikan penggunaan AI lebih meluas, memacu permintaan dan mengurangkan kebimbangan mengenai kekangan bekalan GPU. 

“Secara keseluruhannya, kami mengekalkan prospek positif terhadap permintaan pusat data di ASEAN,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, kebanyakan pusat data baharu di ASEAN dibina untuk menyokong AI dan beban kerja awan tradisional, memastikan fleksibiliti berikutan permintaan yang semakin berkembang.

Walaupun permintaan jangka pendek dipacu oleh pengkomputeran awan, penggunaan AI jangka panjang di ASEAN tidak dapat dielakkan, didorong oleh antara lain kecekapan kos ASEAN.

“Perluasan infrastruktur AI di AS membolehkan bahagian GPU yang lebih besar diperuntukkan untuk eksport, sebahagiannya mengurangkan impak daripada peraturan penyebaran AI yang mengehadkan penghantaran GPU secara langsung ke luar negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan