BELANJAWAN 2025 > BERITA

IPR-INTAN NCER Bantu Tingkat Pengeluaran Hasil Pertanian Negara

03/02/2025 06:21 PM

PADANG BESAR, 3 Feb (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka dapat menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil pertanian negara sekali gus mengukuhkan agenda keterjaminan makanan.

Penolong Pengurus Besar IPR-INTAN NCER Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Iskandar Zulkarnain Zainal Abidin berkata program yang menumpukan aktiviti tanaman itu juga membantu meningkatkan pendapatan golongan B40.

"Program ini berpotensi membantu mengurangkan kebergantungan kepada import produk pertanian kerana sebagai contoh, ada hasil pertanian yang masih diimport pada kadar 75 peratus manakala pengeluaran tempatan hanya 25 peratus," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi temu duga peserta IPR-INTAN NCER Perlis di Beseri dekat sini hari ini, yang turut disertai Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Perlis Ahmad Firdaus Hashim.

Program IPR-INTAN NCER, katanya turut memberi peluang kepada peserta untuk mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) hingga Tahap 3 dan latihan pengurusan kewangan melalui kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran.

"Kami mahu peserta yang bermula sebagai pekerja akhirnya mampu menjadi usahawan tani. Program ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan mereka, tetapi juga melahirkan tenaga kerja mahir dalam pertanian moden," katanya.

Iskandar Zulkarnain berkata antara tanaman diusahakan peserta di Perlis ialah cili, bendi, betik, tembikai, tembikai wangi, cendawan, markisa dan pisang dengan jumlah semasa peserta ialah 80 orang bagi pelaksanaan program fasa pertama dan dua yang keseluruhannya melibatkan kawasan seluas lebih 50 hektar.

"IPR-INTAN NCER di Perlis kini memasuki fasa tiga selepas fasa dua bermula pada Januari 2024. Fasa tiga dalam pembangunan dan apabila siap sepenuhnya, akan menjadikan saiz ladang di Perlis meningkat kepada lebih 350 hektar dengan jangkaan 745 peserta akan terlibat," katanya.

Beliau berkata melalui pelaksanaan program itu, pihaknya turut memperkenalkan pertanian moden seperti netting house atau rumah jaring bagi menggantikan sistem rumah hijau dengan penekanan kepada tanaman yang sesuai dengan cuaca di Perlis seperti tembikai. 

IPR-INTAN NCER di Perlis turut mendapat sokongan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui program penanaman cendawan serta pelaksanaan projek pertanian di Lembah Chuping, dekat sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan