BELANJAWAN 2025 > BERITA

Presiden MTUC Dilucutkan Jawatan, Dilarang Bertanding Dua Penggal

04/02/2025 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melucutkan jawatan Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkuat kuasa 19 Jan lepas, susulan siasatan jawatankuasa disiplin terhadap salah laku beliau.

MTUC menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Mohd Effendy turut dilarang bertanding pada pemilihan pegawai MTUC bagi tempoh dua penggal iaitu selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Am MTUC pada 19 Jan yang dihadiri 38 ahli majlis daripada gabungan kesatuan berfaedah sebagaimana perlembagaannya yang menetapkan mesyuarat perlu diadakan sekali dalam tempoh dua bulan bagi membuat keputusan pentadbiran.

"Dalam mesyuarat itu, Jawatankuasa Disiplin MTUC telah membentangkan hasil siasatan salah laku Mohd Effendy.

“Berikutan pelucutan jawatan Presiden, Mohd Effendy tidak dibenarkan mengguna, mewakili atau menghadiri apa-apa mesyuarat atau majlis atas kapasiti organisasi MTUC bermula 19 Jan dan sebarang kenyataan daripada beliau tidak boleh dianggap mewakili suara MTUC dan bukan tanggungjawab MTUC,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mohd Effendy ketika dihubungi Bernama meluahkan rasa kesal terhadap keputusan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan mengelirukan semua pihak serta meminta MTUC menarik balik kenyataan berkenaan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

“Mesyuarat yang diadakan adalah tidak sah kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dalam surat 16 Ogos 2024 dengan jelas menyatakan bahawa mesyuarat Majlis Am tersebut tidak diiktiraf. 

“Oleh itu, semua keputusan yang dibuat, termasuk penggantungan presiden serta tiga naib presiden adalah terbatal dan tidak mempunyai asas perundangan,” katanya.

Beliau mendakwa tindakan mengeluarkan kenyataan itu bukan sahaja melanggar Perlembagaan MTUC, tetapi bertentangan dengan perintah penangguhan (stay order) daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor yang menetapkan tiada keputusan berkenaan dasar kesatuan boleh diambil sehingga rayuan oleh Mohd Effendy dilupuskan di Mahkamah Rayuan. 

Selain itu, beliau mendakwa kedudukan Kamarul Baharin Mansor selaku Setiausaha Agung MTUC juga telah terbatal berdasarkan surat rasmi daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

"Ini bermakna, sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat oleh beliau dalam kapasiti Setiausaha Agung adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan perundangan.

“Semua pihak yang terlibat seharusnya menghormati keputusan ROS, perintah mahkamah dan Perlembagaan MTUC bagi memastikan integriti serta ketelusan dalam kepimpinan kesatuan terus terpelihara,” katanya yang turut meminta ROS campur tangan dalam isu itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan