BELANJAWAN 2025 > BERITA

SMC Bandar Sunway Raikan 25 Tahun Transformasi Penjagaan Kesihatan

05/02/2025 11:38 AM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) meraikan ulang tahun ke-25 tahun ini, sejak mula beroperasi pada November 1999.

SMC dalam kenyataan memaklumkan sebagai sebuah hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia, pencapaian itu memperlihatkan kecemerlangan klinikal, penjagaan komuniti dan inovasi perintis serta menjulang visi yang menjadi asas penubuhannya.

Ditubuhkan untuk memenuhi keperluan kesihatan masyarakat yang kian meningkat, SMC terus membangun menjadi hospital kuaternari swasta terbesar di negara ini dengan kapasiti 724 katil berlesen dan lebih 60 bidang kepakaran perubatan. 

Hospital berkenaan menyediakan penjagaan multidisiplin dengan standard tertinggi, memiliki 28 Pusat Kecemerlangan dan terkenal dengan perkhidmatan pakar dan rawatan perubatan yang komprehensif.

Sebagai peneraju inovasi dalam penjagaan kesihatan, SMC memaklumkan pihaknya kekal komited untuk mengadaptasi teknologi terkini dalam memberikan penjagaan yang terbaik kepada pesakit dengan Pusat Kanser Sunway dan Pusat Perubatan Nuklear dilengkapi sepenuhnya untuk menawarkan perkhidmatan diagnosis serta rawatan kanser yang komprehensif.

“Sejak beroperasi selama 25 tahun ini, SMC telah mencatat pelbagai pencapaian perubatan yang signifikan, termasuk menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang telah melaksanakan lebih 3,000 pembedahan dengan bantuan robot dan akan terus memajukan kepakaran pembedahan dengan teknologi baharu yang berinovatif,” menurut kenyataan itu.

Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) dilengkapi dengan inovasi pintar seperti sistem Tanda Amaran Awal (EWS) dan pengudaraan bukan invasif, selain Makmal Hematologi Khas yang mendapat akreditasi daripada College of American Pathologists (CAP) dengan perkhidmatannya membantu pakar dalam melakukan diagnosis dan prosedur pemprosesan sel stem hematopoietik, pengawetan krio dan extracorporeal photopheresis (ECP) untuk merawat penyakit graft-versus-host (GVHD) di bawah satu bumbung. 

SMC juga telah mula merawat pesakit pemindahan sumsum tulang kanak-kanak apabila Pakar Hematologi Transplantasi Pediatrik mula menyertai hospital itu pada akhir 2024.

Dedikasi SMC terhadap kecemerlangan penjagaan kesihatan telah diperakui melalui penerimaan pelbagai anugerah serta pengiktirafan daripada badan akreditasi tempatan dan antarabangsa antaranya Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI), Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS) dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus menjadi hospital swasta pertama di negara ini yang mempunyai tiga akreditasi utama hospital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata hospital itu telah melalui perjalanan selama 25 tahun yang penuh dengan pembangunan dan inovasi.

“Kami berbangga menjadi peneraju dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang holistik dan berfokuskan pesakit. Ulang tahun ini menjadi detik untuk melihat kembali pencapaian dan mengukuhkan komitmen kami untuk terus memberikan penjagaan kesihatan bertaraf dunia. Kami juga akan terus mengembangkan perkhidmatan dan meluaskan kehadiran dalam industri kesihatan ini,” katanya.

Presiden Kumpulan Perubatan Sunway Datuk Lau Beng Long turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian SMC.

“Perkembangan dari awal penubuhan sehingga kami menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi utama adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan klinikal, sumbangan kepada komuniti, dan inovasi. 

“Kami juga berbangga kerana telah dinobatkan sebagai antara 250 hospital terbaik di dunia dalam ranking Newsweek World's Best Hospitals 2024, dengan 2024 menyaksikan penerimaan pengiktirafan ini buat kali pertama. Pencapaian ini menunjukkan dedikasi warga kerja kami yang berusaha keras untuk memajukan penjagaan kesihatan di SMC dan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan