BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pasukan Pengaman Malaysia Di DRC Selamat - Wisma Putra 

05/02/2025 10:15 AM

PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Pasukan pengaman Malaysia yang berkhidmat di bawah Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) berada dalam keadaan selamat, menurut Kementerian Luar Negeri. 

Kementerian dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi situasi keselamatan di negara itu. 

Kementerian turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Namibia yang turut diakreditasi ke DRC, serta Kementerian Pertahanan bagi menilai keadaan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia di negara terbabit. 

"Rakyat Malaysia yang bercadang untuk melakukan perjalanan ke DRC dinasihatkan agar menangguhkan rancangan mereka sehingga situasi keselamatan kembali stabil," menurut kenyataan itu. 

Bagi bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia menerusi telefon di (+264-61) 259 342 / (+264-61) 259 344 atau e-mel mwwindhoek@kln.gov.my. 

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan dan memberikan maklumat terkini apabila perlu. 

Menurut laporan media antarabangsa, pengambilalihan oleh pemberontak M23 yang disokong Rwanda memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, dengan laporan menunjukkan lebih 2,000 mayat perlu dikebumikan dan sekurang-kurangnya 900 orang terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan