Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis meneruskan prestasi positifnya dengan aktiviti belian diterajui kaunter produk perindustrian dan pembinaan, kata penganalisis.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.34 mata kepada 1,575.85, daripada paras penutup 1,574.51 pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi naik 1.92 mata kepada 1,576.43.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 152 berbanding 88, manakala 276 kaunter tidak berubah, 1,785 tidak diniagakan dan 12 digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 152.39 juta unit bernilai RM91.08 juta.
Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI mengekalkan prestasi meningkatnya untuk ditutup melepasi paras 1,570 pada Rabu, menunjukkan tidak berlaku jualan asing buat masa ini.
“Kami masih yakin aliran dana dari luar negara akhirnya akan tiba di Asia, memandangkan penilaian wajar yang mana nisbah risiko-ganjaran berkedudukan lebih baik.
“Namun kita masih perlu melihat sama ada pengumpulan saham ketika ini akan berterusan, justeru, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran berlegar dalam jajaran 1,570-1,580 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Di pasaran luar negara, beliau berkata Wall Street ditutup tinggi disokong oleh keputusan pendapatan kukuh daripada syarikat berasaskan teknologi selain para peniaga tidak mengambil kira ketidakpastian berhubung kenaikan tarif.
Bagaimanapun, Indeks Hang Seng Hong Kong mencatatkan penurunan hampir 200 mata apabila sentimen terjejas oleh ketidaktentuan tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan.
Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Petronas Chemicals dan YTL Power International meningkat 4.0 sen masing-masing kepada RM4.37 dan RM3.21, Gamuda naik 7.0 sen kepada RM4.45, Tenaga meningkat 6.0 sen kepada RM13.68 dan Maxis menambah 2.0 sen kepada RM3.53.
Northern Solar menerajui senarai saham paling cergas, meningkat sebanyak 29 sen kepada 92 sen, dan MYEG menambah setengah sen kepada 97.5 sen, manakala Harvest Miracle Capital, Vinvest Capital, dan TWL masing-masing tidak berubah pada 19.5 sen, 8.0 sen dan 2.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 12.52 mata kepada 12,036.27, Indeks FBMT 100 meningkat 12.11 mata kepada 11,727.98 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 19.87 mata kepada 11,890.91.
Indeks FBM ACE meningkat 13.23 mata kepada 5,300.74 manakala Indeks FBM 70 menokok 26.70 mata kepada 17,862.70.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan sebanyak 9.48 mata kepada 19,052.25 dan Indeks Perladangan susut 5.42 mata kepada 7,425.83, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.56 mata kepada 165.77 dan Indeks Tenaga naik 1.16 mata kepada 822.70.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial