PARIS, 6 Feb (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri Perancis Francois Bayrou terselamat daripada undi tidak percaya kedua pada Rabu malam, yang dikemukakan oleh parti sayap kiri tegar La France Insoumise (LFI), lapor Xinhua.
Speaker Perhimpunan Kebangsaan Perancis, Yael Braun-Pivet mengumumkan bahawa hanya 122 ahli dewan rendah Parlimen menyokong usul itu, jauh daripada 289 undi yang diperlukan untuk menyingkirkan Bayrou.
Terdahulu, Bayrou sudah pun terselamat daripada undian tidak percaya pada hari sama. Menurut keputusan yang diumumkan Braun-Pivet, hanya 128 ahli dewan menyokong usul berkenaan.
LFI mengemukakan dua usul tidak percaya terhadap Bayrou selepas beliau menggunakan Artikel 49.3 Perlembagaan Perancis pada Isnin untuk meluluskan Rang Undang-Undang Belanjawan Negara 2025 serta bahagian pertama Rang Undang-Undang Pembiayaan Keselamatan Sosial tanpa undian di parlimen.
Tanpa sokongan parti sayap kanan Perhimpunan Nasional (RN) dan sekutunya daripada sayap kiri, Parti Sosialis (PS), LFI gagal mendapatkan undi mencukupi untuk menyingkirkan Bayrou dalam kedua-dua cubaan.
Presiden Perancis Emmanuel Macron melantik Bayrou sebagai perdana menteri pada 13 Disember selepas Michel Barnier disingkirkan menerusi undi tidak percaya.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial