KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada Mohd Desa Mansor, seorang duda yang tinggal di rumah kecil di Kampung Chengal Lempong, Kuantan, Pahang.
Setiausaha Politik Anwar Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili Perdana Menteri berkata bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan itu bertujuan meringankan beban harian Mohd Desa.
Namun, beliau berkata bantuan berkenaan hanya langkah permulaan kerana dengan sokongan Perdana Menteri, lantai reput dan dinding usang rumah kecil didiami Mohd Desa itu juga akan dibaik pulih.
“Duda tanpa anak, hidup sendirian dengan pendapatan RM1,000 sebulan, namun wajahnya tetap memancarkan ketabahan.
“Kami berbual di ruang kecil rumahnya, berbincang tentang cabaran hidup yang dilaluinya. Setiap cerita yang keluar daripadanya seakan mengingatkan saya betapa berat ujian sesetengah insan.
“Namun, di sebalik kesulitan itu, saya juga dapat merasai harapan yang masih ada dalam hatinya,” kata Ahmad Farhan dalam hantaran menerusi Facebook hari ini, yang turut dikongsikan oleh Anwar.
Ahmad Farhan berkata Ziarah MADANI bukan sekadar program bantuan, malah satu amanah.
“Amanah bahawa sesiapa pun, walau di pelosok mana pun, berhak hidup dalam keadaan yang lebih baik. Semoga Encik Mohd Desa terus kuat dan dipermudah segala urusannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial