BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nur Herman Taruh Harapan Anak Buah Cipta Kejayaan Di Sukan SEA 2025

06/02/2025 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Legenda olahraga negara Nur Herman Majid menyuarakan harapan besar untuk melihat atlet kebangsaan menawan podium dalam acara 110 meter (m) lari berpagar di temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.

Bagi jurulatih berpengalaman itu, impian tersebut bukan mustahil, terutama dengan kehadiran dua atlet berbakat Mohd Rizzua Haizad Muhamad dan Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau, yang masing-masing menunjukkan peningkatan ketara dalam prestasi.

Mohd Rizzua, yang mencatat rekod musim terbaik 14.13 saat (s) tahun lepas dan Muhammad Hazriq, atlet  muda dari Johor yang merekodkan 14.25s, pada Julai tahun lepas dilihat berpotensi besar untuk mencipta kejutan di pentas serantau.

Pemenang pingat gangsa 110m lari berpagar lelaki di Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun, itu berkata kedua-dua anak buahnya masih dalam proses pembelajaran dan telah menunjukkan kemajuan yang positif.

Insya-Allah, semuanya bergantung kepada atlet sendiri – sejauh mana mereka berani mencabar diri dan berusaha mencapai kejayaan.

“Sebagai jurulatih, saya hanya mampu membimbing mereka untuk mencapai pencapaian yang lebih tinggi,” kata Nur Herman, pemenang enam pingat emas Sukan SEA, dalam satu video yang dikongsi oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) hari ini.

Beliau optimis bahawa 2025 bakal menjadi tahun gemilang buat atlet lari berpagar negara dan berharap kedua-dua anak buahnya mampu menempatkan diri sebagai pemenang pingat di temasya berprestij itu.

Mohd Rizzua, 28, telah mencatat masa terbaik peribadinya, 13.85s, di Thailand pada Julai 2023 dan merupakan sebahagian daripada Program Podium.

Sementara itu, Muhammad Hazriq, 18, yang menyinar di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara 2023 dengan dua pingat emas, termasuk dalam acara lari berpagar, berada dalam program pelapis dan terus mencatat masa memberangsangkan.

Pada final 110m lari berpagar lelaki di Sukan SEA 2023 di Kemboja, atlet Thailand Natthaphon Dansungnoen dan wakil Singapura Ang Chen Xiang berkongsi pingat emas dengan catatan masa 13.831s, manakala John Cabang dari Filipina menduduki tempat ketiga dengan 13.86s.

Malaysia kali terakhir menaiki podium acara ini menerusi Rayzam Shah Wan Sofian dengan merangkul pingat perak di Sukan SEA 2019 di Filipina, yang menyaksikan beliau gagal mempertahankan emas dimenanginya di Kuala Lumpur pada edisi 2017.

Sebagai rekod, Nur Herman Majid pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia apabila beraksi di Sukan Olimpik Barcelona 1992 serta Kejohanan Dunia 1995 di Gothenburg, Sweden.

Juara Kejohanan Asia 1991 itu juga memegang rekod kebangsaan selama 23 tahun dengan catatan 13.73s sebelum rekodnya dipecahkan oleh Rayzam Shah dengan kepantasan 13.67s pada tahun 2017.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan