BELANJAWAN 2025 > BERITA

Nissan Dijangka Tamatkan Perbincangan Penggabungan Dengan Honda, Tolak Status Anak Syarikat – Sumber

06/02/2025 05:15 PM

TOKYO, 6 Feb (Bernama-Kyodo) -- Nissan Motor Co dijangka menamatkan perbincangan penggabungan dengan Honda Motor Co susulan penolakan terhadap cadangan Honda baru-baru ini untuk menjadikannya sebagai anak syarikat, hanya sebulan selepas rundingan dimulakan mengenai perjanjian yang berpotensi mewujudkan pengeluar kenderaan ketiga terbesar di dunia, lapor agensi berita Kyodo.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu pada Rabu, kedua-dua syarikat automotif itu mengumumkan pada Disember bahawa mereka bersetuju untuk meneroka kemungkinan penggabungan di bawah sebuah syarikat induk menjelang 2026 sambil mengekalkan jenama masing-masing.

Langkah itu bertujuan mengurangkan kos dan berkongsi beban kewangan yang semakin meningkat dalam pembangunan kenderaan elektrik serta perisian bagi menyaingi pesaing global seperti Tesla Inc. dan BYD Co. dari China.

Bagaimanapun, sumber berkata Honda yang mempunyai jumlah jualan dan modal pasaran lebih besar, baru-baru ini mencadangkan supaya Nissan menjadi anak syarikatnya – satu cadangan yang mendapat tentangan kuat dalam Nissan.

Perbincangan penggabungan itu timbul ketika Nissan sedang melalui proses penstrukturan semula, dengan Honda dilaporkan berusaha mendapatkan kawalan kerana bimbang isu berpanjangan yang dihadapi Nissan boleh menjejaskan masa depannya, menurut sumber.

Namun, Nissan bimbang bahawa menjadi anak syarikat Honda akan menjejaskan autonominya secara signifikan.

Pada sidang media Disember lepas, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nissan Makoto Uchida menegaskan bahawa tiada syarikat akan mendominasi penggabungan itu, dengan menekankan bahawa kedua-duanya akan berada pada kedudukan setara.

Kedua-dua syarikat automotif itu dijangka mengumumkan keputusan kewangan bagi tempoh April-Disember minggu depan.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan