BELANJAWAN 2025 > BERITA

USO Labuan Teruskan Pengembangan Dengan Kemudahan Ketujuh Di Mid Valley

07/02/2025 05:48 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 7 Feb (Bernama) -- Universal Serviced Offices (USO), penyedia pejabat perkhidmatan yang berpangkalan di Labuan, mengumumkan pengembangan terbarunya melalui kemudahan baharu di Mid Valley, Kuala Lumpur.

Terletak di kawasan pejabat dan kompleks beli-belah Gardens North Tower, pejabat baharu itu seluas lebih 16,500 kaki persegi dan akan menawarkan pejabat persendirian perkhidmatan, ruang kerja bersama dan kira-kira 350 stesen kerja.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hesham Mansour berkata kemudahan itu akan dibuka pada 1 April, 2025, dan akan menjadi lokasi ketujuh USO sejak penubuhannya pada Februari 2021.

"Dikenali dengan reka bentuk bertaraf tinggi yang berinspirasikan Paris dan perkhidmatan yang luar biasa, USO telah menempatkan dirinya sebagai penyedia utama penyelesaian ruang kerja premium. Lokasi di Mid Valley, salah satu pusat perniagaan yang paling dicari di Malaysia, menawarkan ketersambungan yang tiada tandingan dan akses ke Mid Valley Mega Mall yang terkenal, yang memiliki lebih 400 kedai dan ruang runcit serta komersial seluas 4.5 juta kaki persegi.

“Lokasi strategik ini sesuai untuk golongan profesional dan perniagaan yang mencari kemudahan, berprestij dan persekitaran kerja yang dinamik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Hesham berkata pengembangan itu mencerminkan komitmen USO untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Malaysia untuk penyelesaian ruang kerja yang fleksibel dan berkualiti tinggi.

Beliau turut menekankan dedikasi syarikat terhadap kecemerlangan, dengan berkata matlamat USO adalah untuk menyediakan pelanggannya perkhidmatan yang cemerlang, beretika dan telus.

“Dengan pembukaan pejabat baharu kami di Mid Valley, kami teruja untuk menawarkan perkhidmatan luar biasa yang sama, piawaian etika yang tinggi dan penyelesaian inovatif yang membezakan kami dalam industri ini,” tambahnya.

Hesham berkata kemudahan baharu itu akan memenuhi pelbagai jenis pelanggan, termasuk perusahaan kecil hingga sederhana, pekerja bebas, syarikat pemula niaga, syarikat fintech, profesional undang-undang, pasukan jarak jauh dan nomad digital.

Beliau berkata penawaran USO itu termasuk pejabat perkhidmatan dengan syarat-syarat pajakan yang fleksibel, ruang kerja bersama, ruang kerja bebas dan penyelesaian pejabat maya.

“Selain itu, lokasi Mid Valley akan menampilkan ruang acara, bilik mesyuarat dan kemudahan latihan, termasuk ruang acara yang bertemakan Paris. Pertumbuhan pesat USO dipacu oleh tumpuannya yang tidak berbelah bagi terhadap kepuasan pelanggan dan dedikasi kakitangannya.

“Dengan lokasi sedia ada di Bangsar South dan Labuan beroperasi pada kapasiti hampir penuh, syarikat secara aktif merancang pengembangan seterusnya bagi memenuhi permintaan yang kukuh untuk perkhidmatannya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan