IPOH, 7 Feb (Bernama) -- Sebanyak 200 penduduk bakal menerima manfaat melalui tawaran pemilikan rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Ibu di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bukit Kinding, Tanjung Rambutan, di sini.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin berkata skim yang pertama kali diwujudkan itu menawarkan lapan model rumah berbeza dengan harga yang bermula daripada RM75,000 hingga RM278,000 seunit.
“Projek ini dibangunkan di atas tanah yang telah dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada penduduk terlibat selain menjadikannya sebagai satu inisiatif perumahan yang lebih terjamin.
“Mana-mana peserta yang berminat untuk memiliki rumah di bawah skim ini juga boleh membuat pemilihan pembayaran sama ada secara tunai, pinjaman perumahan atau skim sewa beli,” katanya pada sidang media selepas mewakili Perdana Menteri menyempurnakan perasmian Majlis Peluncuran Skim Rumah Ibu di sini hari ini.
Skim Rumah Ibu adalah inisiatif baharu dilancarkan pihak swasta dengan sokongan kerajaan bagi memberi peluang kepada orang ramai memiliki kediaman mampu milik dengan kemudahan perkhidmatan sokongan yang disesuaikan mengikut keperluan penduduk.
Shamsul Iskandar berkata langkah mewujudkan skim itu wajar diberikan pujian kerana ia sedikit sebanyak membantu kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.
“Projek perumahan seumpama ini amat penting kepada kerajaan dan untuk mengharapkan kebergantungan kepada kerajaan semata-mata adalah tidak memadai. Jadi, saya fikir dengan bantuan pihak swasta, ia mampu dijayakan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan mengusulkan cadangan kepada kerajaan bagi memperkenalkan ‘harga MADANI’ terhadap kos bahan binaan bagi pembinaan kediaman mampu milik oleh pihak pemaju perumahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial