BELANJAWAN 2025 > BERITA

MITRA Berhasrat Jadi Badan Pemantau Untuk Pembangunan Komuniti India

08/02/2025 11:49 AM

Oleh V. Sankara Subramaniam

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) mencadangkan kepada Kementerian Ekonomi agar ia diberi mandat supaya dapat berfungsi sebagai badan pemantau bagi memastikan pelaksanaan pelan dan inisiatif untuk masyarakat India di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dijalankan dengan berkesan.

Pengerusi MITRA P. Prabakaran berkata cadangan itu sudah dihantar kepada kementerian berkenaan untuk pertimbangan dan kelulusan serta pihaknya sudah mengemukakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli bagi membentangkan inisiatif itu.

“Jika diluluskan, MITRA boleh memantau penyertaan komuniti India dalam pelbagai inisiatif dan program kerajaan untuk memastikan akses sama rata dan penyampaian berkesan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Wisma Bernama di sini semalam.

Prabakaran berkata MITRA telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak berkepentingan termasuk golongan profesional, pendidik dan pemimpin komuniti pada penghujung 2024, bertujuan merangka dasar dan inisiatif khusus untuk masyarakat India.

Cadangan berkenaan telah dihimpunkan dalam kertas dasar dan diserahkan kepada Kementerian Ekonomi.

Antara cadangan utama yang dikemukakan ialah penubuhan Suruhanjaya Minoriti yang akan berfungsi sebagai mekanisme pemantauan untuk memastikan peruntukan sumber kerajaan yang adil kepada kumpulan minoriti termasuk komuniti India, Orang Asli dan etnik minoriti lain di Malaysia.

“Kami tidak mengatakan bahawa tiada kesaksamaan pada masa ini, tetapi sebuah sistem pemantauan yang khusus dapat memastikan bahawa dasar kerajaan dilaksanakan dengan efektif dan sampai kepada penerima yang disasarkan,” katanya.

Prabakaran berkata terdapat keperluan mendesak bagi dasar pendidikan yang lebih bersasar, sambil menekankan ramai pelajar India berdepan kekangan kewangan yang menghalang mereka daripada menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Banyak pelajar India menghadapi masalah kewangan yang menghalang mereka daripada melanjutkan pelajaran. Walaupun Pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) hanya menampung sebahagian kos, bantuan kewangan tambahan amat diperlukan, terutamanya bagi golongan B40 dan M40,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada RMK13, MITRA turut mencadangkan pemindahan strategik sekolah Tamil ke kawasan bandar yang mempunyai populasi India lebih tinggi bagi memastikan akses lebih baik kepada pendidikan berkualiti sambil mengekalkan kepentingan budaya sekolah berkenaan.

Selain itu, Prabakaran turut menggesa agar dana untuk usahawan India ditingkatkan kerana peruntukan sedia ada - seperti inisiatif RM12 juta oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) hanya memanfaatkan 650 usahawan India daripada 8,000 pemohon pada 2024.

“Perkara ini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk lebih banyak geran dan pinjaman perniagaan bagi membantu usahawan kaum India, terutamanya pada fasa pemulihan pascapandemik,” katanya.

Beliau mengakui usaha sebelum ini, seperti Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia dan pelbagai pelan tindakan sosioekonomi tidak dilaksanakan sepenuhnya, justeru MITRA berusaha memastikan kesinambungan dasar kerajaan berbanding bergantung pada inisiatif bersifat sementara yang berubah mengikut kepimpinan politik semasa.

“Sebab itulah badan pemantau tetap seperti MITRA amat penting, bagi memastikan usaha pembangunan komuniti India tidak menjadi sekadar dokumen dasar yang tersimpan di rak,” katanya dan menambah akan terus menggesa kerajaan dan menteri utama bagi memastikan cadangan itu dibawa ke Kabinet untuk diluluskan.

Prabakaran juga dijangka membangkitkan isu berkenaan pada sesi Parlimen kali ini dan akan terus memperjuangkan pembaharuan dasar yang memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti India di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan