BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPM Perkasa Pelaksanaan NACS 2024-2028 Menerusi Pendidikan

09/02/2025 10:12 AM

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan agenda pencegahan rasuah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. 

Sebagai Kementerian Peneraju bagi Strategi 1: Pendidikan, KPM memaklumkan pihaknya bertanggungjawab meningkatkan kesedaran dan pengetahuan antirasuah menerusi pelaksanaan enam substrategi yang terbahagi kepada tempoh jangka masa pendek dan sederhana.

Di bawah Substrategi 5, NACS 2024-2028, KPM berjaya meluncurkan Kit Duta Sahsiah pada 25 Nov 2024 sebagai pemangkin pembentukan karakter “karamah insaniah” dalam kalangan murid yang berasaskan nilai-nilai murni dan keperibadian unggul.

“Kit Duta Sahsiah juga selaras dengan fokus utama kementerian pada 2025 untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan pendidikan serta memperluas konsep Generasi MADANI KPM kepada semua penjawat awam dan institusi pendidikan.

“Pelbagai modul latihan dan bahan rujukan meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang menjadi antara elemen penting pembentukan karakter 'karamah insaniah' terkandung dalam Kit Duta Sahsiah,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, duta sahsiah yang dipilih ialah suri teladan untuk mempromosikan serta mengamalkan nilai-nilai murni dan perilaku positif seperti berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab.

“KPM komited memastikan pemerkasaan etika, integriti dan antirasuah menerusi pendidikan seperti yang terkandung dalam NACS 2024-2028.

“Hal ini penting bagi memerangi rasuah yang merupakan satu daripada daripada agenda utama reformasi negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan