Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sedang menerajui inisiatif serantau yang bertujuan untuk mengurangkan penangkapan ikan berlebihan di negara-negara anggota ASEAN dari 2024 hingga 2026, kata Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain.
Beliau berkata projek yang dikenali sebagai Pelaksanaan dan Penilaian Pelan Tindakan Serantau ASEAN bagi Pengurusan Kapasiti Perikanan ini memberi tumpuan kepada usaha mengawal dan mengurangkan kapasiti perikanan secara berlebihan di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) negara-negara ASEAN untuk memastikan kemampanan stok ikan.
"Pelaksanaan projek ini akan menyumbang ke arah pengurangan kapasiti berlebihan di ZEE setiap negara dan memastikan pengurusan stok ikan pada tahap yang optimum," katanya kepada Bernama.
Adnan berkata DOF giat terlibat secara langsung dalam pelbagai program serantau sempena Kepengerusian ASEAN 2025 dengan matlamat mencapai kelestarian sumber perikanan, pengurusan yang bersepadu, pemantauan dan penguatkuasaan yang berkesan serta pengukuhan kapasiti negara-negara anggota.
Secara dasarnya, Adnan berkata DOF terlibat secara aktif di dalam Kumpulan Kerja Sektoral ASEAN mengenai Perikanan (ASWGFi) yang berfungsi memberikan khidmat nasihat teknikal kepada Mesyuarat Pegawai Kanan Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN, dengan perbincangan menangani isu perikanan tidak sah, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (IUU) menjadi agenda tetap mesyuarat ASWGFi.
"Selain itu, DOF juga terlibat di dalam Rangkaian ASEAN bagi Membanteras Perikanan IUU (AN-IUU) yang menyediakan platform untuk negara-negara anggota berkongsi maklumat dan amalan baik dalam menangani perikanan IUU," katanya.
Beliau berkata AN-IUU memberi peluang kepada DOF untuk mengambil bahagian dalam perbincangan serantau mengenai strategi dan dasar pengurusan perikanan yang lebih baik dan berkesan bagi membendung aktiviti perikanan IUU.
Selain platform ASEAN, Adnan berkata DOF juga aktif melalui organisasi serantau iaitu Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (SEAFDEC) dengan Malaysia mempunyai pejabat di Terengganu bagi mengurus sumber perikanan di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata DOF juga telah dipilih pada tahun ini untuk mengetuai kajian sumber perikanan pelagik di kawasan Pantai Timur selain penglibatan DOF dalam projek peringkat ASEAN termasuk peningkatan kapasiti dalam kalangan negara anggota khususnya dalam pengurusan perikanan dan kerjasama bidang akuakultur untuk meningkatkan pengeluaran dalam negara.
Untuk rekod, Malaysia kembali mengambil alih tampuk Kepengerusian ASEAN tahun ini dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan". Negara sebelum ini pernah menyandang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan kali terakhir pada 2015.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini dianggotai 10 negara Asia Tenggara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN masih lagi dalam proses.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial