BELANJAWAN 2025 > BERITA

MEKAR Mudahkan Urusan Miliki Dokumen Pengenalan Diri Di Pedalaman

09/02/2025 07:11 PM

JERANTUT, 9 Feb (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil langkah proaktif turun ke lapangan termasuk kawasan pedalaman bagi memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR). 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program bersifat khidmat masyarakat itu telah banyak membantu golongan sukar hadir ke cawangan JPN seperti orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan komuniti pedalaman termasuk Orang Asli untuk mendapatkan hak mereka. 

"Hari ini, kita berada di perkampungan Orang Asli Kampung Keniam bersama JPN bagi meneruskan Program MEKAR yang bersifat outreach di mana JPN turun ke lapangan membantu menyelesaikan isu berkaitan dokumen pengenalan diri mereka.

“Mereka sukar untuk bergerak dan perjalanan menggunakan bot (bukan sahaja memakan kos tinggi) tetapi juga mengambil masa lama dan mengganggu mata pencarian Orang Asli ini. (Jadi) di sini kita bawa JPN jauh ke Kampung Keniam dalam usaha memastikan hak rakyat mendapat pengenalan diri sah,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas Majlis Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri MEKAR Komuniti di Kampung Orang Asli Keniam, Taman Negara, Kuala Tahan, Jerantut di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias.

Ekspedisi penyerahan dokumen itu mengambil masa hampir dua jam dengan menaiki bot dari jeti Kuala Tahan menyusuri sungai,meredah hutan dan tujuh jeram sebelum sampai ke perkampungan masyarakat Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Keniam. 

Perkampungan yang terletak dalam Taman Negara itu didiami kira-kira 220 penduduk daripada 40 keluarga.

Kos lebih RM1,000 diperlukan untuk pengangkutan bot, kerete sewa dan hotel untuk ke bandar terdekat, Jerantut, bagi proses pendaftaran dokumen pengenalan diri. 

“(Ekspedisi ini) satu pengalaman unik, luar biasa, melewati arus sungai, menentang arus Sungai Tembeling dan kemudian Sungai Keniam. Beberapa kali juga momen tersangkut...menentang arus, makan sedikit masa perjalanan ke sini. 

“Jadi, program MEKAR ini menjayakan satu inisiatif membantu komuniti ini kerana tidak semua dapat akses sepertimana yang dinikmati orang lain...masalah utama dihadapi komuniti di sini ialah pendaftaran kelahiran lewat,” kata menteri.

Ramai ibu bapa katanya tidak mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh ditetapkan undang-undang iaitu 60 hari selain terdapat individu telah mencapai usia 12 tahun tetapi belum memiliki MyKad walaupun mempunyai sijil kelahiran.

Beliau berkata masyarakat pedalaman semakin menyedari kepentingan dokumen pengenalan diri sebagai dokumen yang sah dan amat penting dalam pelbagai urusan seperti pendaftaran persekolahan, mendapatkan bantuan serta rawatan di hospital atau klinik kerajaan. 

“Program MEKAR jelas memberi manfaat besar (di mana) angka (permohonannya) meningkat saban tahun. Untuk perbandingan, sepanjang 2024, sebanyak 2,311 program MEKAR telah dilaksanakan. Angka ini meningkat setiap tahun di mana pada 2023 adalah 1,762 program manakala 2022 (1,393) program.

“Trend ini menunjukkan bahawa Program MEKAR benar-benar memberi impak tinggi dalam membantu rakyat, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri yang menekankan pendekatan MADANI dalam pentadbiran, berlandaskan nilai ihsan, simpati dan kasih sayang dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya. 

Selain MEKAR Komuniti, program itu juga dibahagikan kepada MEKAR Ihsan, MEKAR Identiti, MEKAR Pahlawan dan MEKAR Diaspora.

Dalam majlis hari ini, Saifuddin Nasution menyerahkan sebanyak 24 MyKad dan 20 sijil lahir kepada penduduk Orang Asli suku Batek di perkampungan itu selain turut menyampaikan enam MyKad baharu bagi menggantikan yang rosak kepada enam pemohon meliputi pesakit jantung, pesakit kanser, warga emas dan OKU di Kampung Teresek. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan