KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- TMC Life Sciences Bhd (TMCLS) melantik Datuk Dr Ahmad Adzuan Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulannya, berkuat kuasa hari ini.
Ahmad Adzuan merupakan ahli pengasas dan merupakan Penasihat Novotec Group Pte Ltd selain pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Wilayah dan Naib Presiden Eksekutif Kumpulan IDS Medical Systems (idsMED) dari Oktober 2020 hingga Jun 2023.
TMCLS dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Ahmad Adzuan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur dari Mac 2015 hingga Ogos 2018.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan serta Ijazah Sarjana Muda Obstetrik dari Queen's University Belfast, United Kingdom selain memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada International Institute for Management Development, Switzerland.
Sementara itu, dalam makluman berasingan ke Bursa Malaysia, TMCLS juga mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya yang sekarang, Dr Melvin Heng Jun Li dilantik semula sebagai pengarah bukan eksekutif.
Beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan CEO kumpulan di Thomson Medical Group Ltd, Singapura.
Peranan terdahulu Heng termasuk menjadi CEO Hospital Gleneagles dari Januari 2021 hingga Oktober 2022 dan Penasihat Perubatan Kementerian Kesihatan Singapura dari Ogos 2016 hingga Januari 2018.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial