BELANJAWAN 2025 > BERITA

Tiada Sasaran Tinggi Buat Eddy, Muhammad Ammar Aiman Di Dubai

10/02/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Tiada sasaran tinggi diletakkan buat pemenang gangsa 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Paris 2024 Eddy Bernard dan wakil 400m lelaki T20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi pada Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia Dubai 2025.

Jurulatih mereka Hamberi Mahat berkata saingan di Dubai yang bermula hari ini hingga Khamis, merupakan kejohanan pertama dua atlet itu selepas beraksi buat kali pertama di pentas Paralimpik Paris yang turut menyaksikan Muhammar Ammar Aiman meraih tempat keempat dalam acara disertainya.

“Mereka juga masih belum dalam fasa pertandingan namun kami hantar mereka (ke kejohanan itu) untuk menjaga ranking.

“Saya rasa mereka berdua tidak akan capai prestasi seperti di Paris 2024 kerana belum tiba masa buat mereka untuk beraksi (perform) di peringkat tertinggi lagi,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, Hamberi berharap Eddy dapat mencapai sasaran masa ditetapkan iaitu 11.90 saat (s) selain melihat Muhammad Ammar Aiman boleh mencatat 49.00s pada kejohanan di trek olahraga Dubai Club for People of Determination.

Walaupun catatan masa itu tidak menghampiri rekod peribadi terbaik Eddy (11.58s) dan Muhammad Ammar Aiman (47.43s) dengan kedua-duanya merupakan rekod Asia pada Paris 2024, Hamberi berkata catatan disasarkan boleh dianggap baik memandangkan mereka agak lama tidak menjalani aksi kompetitif di balapan.

Eddy dijangka turun beraksi esok manakala Muhammad Ammar Aiman pula akan bersaing pada Rabu.

Hamberi berkata kejohanan di Dubai juga merupakan platform terbaik untuk dua atlet itu mempersiapkan diri bagi beraksi di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2025 di New Delhi pada 26 Sept hingga 5 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan