TOKYO, 12 Feb (Bernama-Kyodo) -- Jepun mengemukakan permohonan pengecualian daripada tarif 25 peratus yang dikenakan ke atas produk keluli dan aluminiumnya oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, umum Menteri Perdagangan Jepun, Yoji Muto pada Rabu.
"Kami akan mengambil langkah perlu dan tegas sambil memantau dengan teliti sebarang kemungkinan kesan terhadap syarikat Jepun," kata Muto dalam satu sidang media seperti dipetik agensi berita Kyodo.
Beliau merujuk kepada tarif berkenaan yang sebelum ini diumumkan Trump akan dikuatkuasakan "tanpa pengecualian."
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshimasa Hayashi turut mengesahkan bahawa kerajaan Jepun telah menyampaikan permohonan itu melalui Kedutaannya di AS.
Menurut Rumah Putih, tarif terbabit dijadual berkuat kuasa pada 12 Mac, menandakan perintah tarif khusus sektor pertama yang dikeluarkan Trump sejak beliau mengambil alih jawatan bulan lalu.
Di bawah pentadbiran terdahulu yang diketuai Joe Biden, beberapa rakan dagang AS termasuk Jepun diberikan kuota bebas cukai.
Bagaimanapun, pada Isnin, Trump menandatangani pengisytiharan rasmi bagi membatalkan pengecualian itu.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial