BELANJAWAN 2025 > BERITA

BAMTC 2025: Malaysia Tewas 2-3 Di Tangan Hong Kong

12/02/2025 04:08 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Skuad negara memulakan kempen Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 dengan langkah kiri selepas tewas kepada Hong Kong 2-3 pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan B di Qingdao, China hari ini.

Pada aksi di Pusat Sukan Qingdao Conson, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tidak berhasil memberikan mata pertama buat negara selepas tewas kepada Tang Chun Man-Ng Tsz Yau dalam pertarungan tiga set 21-17, 17-21, 11-21 selama 49 minit.

Perseorangan wanita, K Letshanaa yang menjadi sandaran negara seterusya berjaya mengikat kedudukan dengan Hong Kong apabila meraih kemenangan 21-18 dan 21-18 ke atas Saloni Samirbhai Mehta.

Perseorangan lelaki, Justin Hoh bagaimanapun kecundang dalam aksi straight set berdepan Lee Cheuk Yiu 19-21, 16-21, sekali gus meletakkan Hong Kong kembali mendahului dengan kedudukan 2-1.

Hasrat melihat Malaysia kembali mengikat kedudukan menerusi beregu wanita, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing kemudian tidak kesampaian, apabila tewas di tangan Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam 17-21 dan 14-21. 

Pada perlawanan terakhir, satu lagi pasangan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun sedikit mengubat kekecewaan, apabila menyumbang kemenangan kedua negara dengan menewaskan Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai 21-13 dan 21-11.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Malaysia menghuni kedudukan ketiga Kumpulan B tanpa sebarang mata, di belakang Hong Kong (satu mata) di tempat kedua, manakala Indonesia (satu mata) selaku pendahulu kumpulan.

Hanya dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Malaysia kini berdepan misi wajib menang ke atas Indonesia yang juga musuh tradisi dalam aksi pelengkap Kumpulan B, esok.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan