BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hubungan Malaysia-Turkiye Dijangka Berkembang Pesat – Penganalisis Turkiye  

13/02/2025 12:58 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 13 Feb (Bernama) -- Hubungan antara Malaysia dan Turkiye dijangka berkembang pesat dalam tahun-tahun mendatang, dipacu oleh kepentingan bersama serta kelebihan yang saling melengkapi, menurut penganalisis politik Turkiye. 

Kunjungan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia minggu ini memberi lonjakan baharu kepada kerjasama yang semakin berkembang merangkumi pelbagai bidang, kata pakar hubungan antarabangsa Mustafa Oztop.

"Lawatan itu menandakan bahawa hubungan kedua-dua negara bakal memasuki satu daripada era terbaiknya.

"Peranan Turkiye sebagai penyatu dunia Islam serta pengalamannya dalam industri pertahanan, diplomasi, kesihatan dan pengangkutan, digabungkan dengan keupayaan intelektual Malaysia dalam bidang Islam, sains, teknologi dan ekonomi boleh memberikan sumbangan penting kepada pembangunan dan kemakmuran kedua-dua negara," kata Oztop. 

Sementara itu, profesor madya bagi hal ehwal antarabangsa dan penganalisis politik Ibrahim Karatas berpandangan meskipun Malaysia dan Turkiye terpisah secara geografi, kedua-dua negara berkongsi visi yang selari untuk masa depan.

Beliau turut menekankan hubungan baik serta kerjasama erat yang terjalin antara kedua-dua negara, termasuk dalam isu Palestin, Islamofobia, hak asasi manusia, krisis kemanusiaan serta pelbagai inisiatif di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8). 

Hubungan erat dengan Malaysia juga sejajar dengan inisiatif “Asia Anew” yang dilancarkan oleh Turkiye pada 2019 bagi mengukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan negara-negara di Asia. 

Sektor pertahanan menawarkan peluang besar untuk kerjasama selain perdagangan, pendidikan serta pertukaran antara rakyat. 

"Penyertaan Malaysia dalam projek pertahanan Turkiye adalah sangat penting.

"Kerjasama dalam sektor ini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan bagi kedua-dua negara yang sealiran," kata Karatas, merujuk kepada ketegangan geopolitik yang semakin meningkat serta risiko besar dalam pemerolehan aset pertahanan. 

Dalam kenyataan bersama pada Selasa, Malaysia dan Turkiye menegaskan kerjasama pertahanan yang bertujuan meningkatkan keupayaan serta memperkukuh ekosistem pertahanan bersama. 

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, manakala Malaysia adalah rakan ekonomi utama Turkiye dalam rantau ASEAN. 

Kedua-dua negara menyasarkan untuk menggandakan nilai perdagangan yang berjumlah RM24.13 bilion (US$5.28 bilion) tahun lalu. 

Hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022. 

Bercakap pada sidang media bersama Anwar semasa lawatan itu, Erdogan berkata hubungan persahabatan dan persaudaraan antara rakyat Turkiye dan Malaysia telah terjalin sejak berabad lamanya, dan kedua-dua negara akan “mengambil kekuatan daripada sejarah bersama yang amat panjang ini serta mengikuti jejak langkah nenek moyang kita.”

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan