SUBANG JAYA, 13 Feb (Bernama) -- Perodua kemungkinan bakal menaja acara sukan di Malaysia termasuk pasukan bola sepak tempatan.
Pengerusinya Tan Sri Asmat Kamaludin berkata ini sebahagian daripada usaha untuk penglibatan yang lebih meluas dalam dunia sukan.
Beliau berkata baru-baru ini kelab Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester United yang juga dikenali sebagai Red Devils turut menyatakan hasrat agar gergasi automotif tempatan itu menjadi penaja mereka.
“Saya tidak pasti sama ada perlu untuk saya menyatakan hal ini … bahawa baru-baru ini saya menerima surat daripada bekas juara Eropah Manchester United bertanyakan sama ada mereka boleh memaparkan logo Perodua pada satu daripada jersi mereka dan sama ada kami boleh menaja mereka.
“Saya biasanya tidak bercakap mengenai hal ini secara terbuka tetapi saya penyokong Arsenal. Jika saya berbuat demikian tidak adil pula untuk pasukan Arsenal,” katanya berseloroh.
Beliau berkata sebarang cadangan penajaan, sama ada di Malaysia atau di tempat lain ia memerlukan pertimbangan yang teliti.
"Tetapi itu sekadar contoh bagaimana pihak luar hubungi kami untuk mendapatkan sokongan (dari segi penajaan) dalam bola sepak. Seperti yang saya katakan, kami akan mempertimbangkan, terutamanya di Malaysia," kata Asmat pada majlis perasmian Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana (PNAGS) di sini hari ini.
Perodua adalah penaja PNAGS dan kejohanan badminton Master Malaysia.
Sementara itu, PNAGS 2025 akan berlangsung di 14 negeri, dan Wilayah Persekutuan, pusingan pembukaan bakal berlangsung di Kelab Golf dan Desa Kota Permai pada 28 Feb. Perlawanan akhir di Saujana dari 28 hingga 30 Sept bakal acara menjadi penutup kejohanan.
Juara negeri akan mara ke final peringkat kebangsaan dan akan bersaing untuk melayakkan diri ke pentas akhir Kejohanan Golf Amatur Dunia (WAGC) di Jeju, Korea Selatan.
Malaysia menjadi tuan rumah final WAGC sebanyak empat kali - di Kuala Lumpur (2017, 2022), Johor (2018) dan Sabah (2019).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial