BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pelarasan Harga Lantai Belian Padi Bantu Pesawah Serap Kos, Tambah Pendapatan - MADA

13/02/2025 10:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pelarasan harga lantai belian padi bukan sahaja berita gembira kepada pesawah, malah ia dapat membantu golongan itu menyerap kenaikan kos pengeluaran padi, seterusnya menambah pendapatan.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa Ahad ini, dapat memberikan penyelesaian ‘menang-menang’ kepada pihak yang terlibat di dalam rantaian industri padi.

“Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim, kenaikan kos dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara,” menurut kenyataan itu.

MADA yang menyambut baik pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu itu memaklumkan pengguna juga boleh menarik nafas lega apabila harga jualan maksimum beras putih tempatan kekal pada RM2.60 sekilogram.

“Bagi mengekalkan harga jualan beras putih temapatan, Kerajaan MADANI memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini. Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit beras putih tempatan dengan kadar berat 10 kilogram (RM26) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, yang bertujuan meringankan beban para pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MADA menyeru semua pihak mengenepikan sebarang perbezaan dan bersama-sama menyokong segala usaha dilaksanakan kerajaan bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan