Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 14 Feb (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menyatakan keyakinannya terhadap kepemimpinan Malaysia dalam blok serantau itu pada 2025, yang menandakan kali kelima negara ini memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.
Beliau menyatakan perkara itu dalam pertemuan dengan Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Ambassador Datin Sarah Al Bakri Devadason di Ibu Pejabat ASEAN pada Jumaat, menurut Sekretariat ASEAN.
Perbincangan tertumpu kepada keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, termasuk perkembangan permohonan keanggotaan Timor-Leste serta isu serantau lain.
Kao menegaskan sokongan penuh Sekretariat ASEAN terhadap usaha ASEAN, khususnya Jawatankuasa Wakil Tetap ke ASEAN.
Malaysia, yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015, secara rasmi mengambil alih peranan itu bagi 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kelestarian,” dengan lebih 300 mesyuarat dan program dirancang sepanjang tahun.
Acara utama pertama di bawah kepengerusian Malaysia, Permukiman Menteri Luar ASEAN, telah diadakan pada 19 Jan di Langkawi, Malaysia, dengan Menteri Luar Timor-Leste Bendito Freitas menghadiri sebagai pemerhati.
Keutamaan Malaysia bagi Pengerusian ASEAN 2025 termasuk memperkukuh Kesentralan ASEAN, membina kepercayaan melalui dialog, diplomasi dan muhibah serta memperluas perkongsian ekonomi di luar sempadan ASEAN.
Malaysia juga berhasrat untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang lebih besar, dengan penekanan kepada kemajuan dalam sains, teknologi, inovasi dan transformasi digital.
Selaras dengan temanya, Malaysia akan memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kelestarian, menangani jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup serta memerangi perubahan iklim bagi membina sebuah komuniti serantau yang lebih kukuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial