MELAKA, 14 Feb (Bernama) -- Sebanyak sembilan pembiakan luar ditemui dan dua notis pembersihan di bawah Seksyen 8 dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan denggi di Taman Bertam Jaya di sini semalam.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata operasi itu bagi menangani isu wabak berulang selain pemeriksaan di kawasan berkenaan turut ditemukan banyak bekas potensi pembiakan nyamuk dan telah dimusnahkan.
"Aktiviti pencegahan dan kawalan denggi akan diteruskan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian wabak berikutan terdapat sejarah wabak berulang selain dikenal pasti kawasan panas.
"Jabatan Kesihatan Negeri Melaka akan terus memantau perlaksanaan langkah-langkah pencegahan dan kawalan denggi secara berkala dengan berterusan selain memerlukan kerjasama dan pengawasan oleh semua agensi yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 2,203 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini pada tahun lepas dengan merekodkan dua kematian.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kes pada 2024 itu juga menjadikan Melaka sebagai negeri yang paling tinggi mencatatkan kadar peningkatan kes demam denggi dengan 80.4 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial