BELANJAWAN 2025 > BERITA

KTP Manfaatkan Masyarakat, Sangkal Warga Universiti Tidak Tahu Realiti Lapangan

15/02/2025 06:25 PM

LUMUT, 15 Feb (Bernama) -- Program Pemindahan Ilmu (KTP)  yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melibatkan semua universiti dalam negara telah memberi manfaat kepada masyarakat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata keberkesanan program berkenaan sekali gus menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa warga universiti tidak mengetahui realiti di lapangan.

Beliau berkata segala kepakaran dan kemudahan universiti perlu dimanfaatkan sepenuhnya selari dengan fokus utama KPT untuk memperkasa ekonomi masyarakat melalui pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu.

“Setiap universiti di Malaysia mempunyai kepakaran masing-masing. Contohnya, UMT (Universiti Malaysia Terengganu), pakar dalam ekonomi biru dan juga berkaitan dengan industri perikanan, lautan atau marin,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Projek KTP Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat MADANI Pangkor di Kampung Tengah, Pulau Pangkor dekat sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UMT Prof Dr Mohamad Salmi Mohd Sohod, Naib Canselor UMT Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Orang Besar Jajahan Manjung Toh Seri Bijaya Lt Kol (B) Datuk Shaharudin Nazari.

Pada majlis berkenaan, Zambry turut mengumumkan perancangan untuk membangunkan Galeri Ternakan Kelulut sebagai pusat sehenti yang mengumpulkan produk komuniti, selain memperkenalkan keunikan dan warisan Pulau Pangkor hasil cetusan idea ketika lawatan peserta projek ke UMT dan program komuniti bimbingan universiti.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Zambry meminta ibu bapa dan pelajar yang berdepan masalah mendaftar ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline kerana tidak dapat memasukkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak KPT.

“Sila maklumkan kepada pihak UPU atau bagi yang berdekatan, boleh berkunjung ke program Jom Masuk U 2025, serta terdapat kaunter di ibu pejabat KPT untuk serahkan maklumat berkenaan.

“Setiap kali proses untuk kemasukan ke universiti mungkin ada ramai yang mohon, ada kes sebegini (masalah pendaftaran). Saya harap kepada ibu bapa yang ada masalah itu dapat kemukakan maklumat kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan rungutan ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak mereka ke program pengajian tinggi menerusi UPUOnline berdepan masalah melibatkan markah PAJSK.

Pada 7 Feb lepas, KPT memaklumkan permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2025/2026 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline dibuka mulai 10 Feb hingga 14 Mac, bagi permohonan Fasa Pertama dan dari 14 April hingga 18 Mei  bagi Fasa Kedua.

Pada 12 Feb pula, KPT memaklumkan program jerayawara pendidikan tinggi negara iaitu Jom Masuk U 2025 (JMU 2025) bakal memulakan siri jelajah ke sepuluh zon di seluruh negara bermula 22 Feb hingga 18 Mei depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan