BELANJAWAN 2025 > BERITA

FAMA Jamin Bekalan Kelapa Menjelang Ramadan Mencukupi

16/02/2025 02:13 PM

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi jaminan bekalan kelapa mencukupi menjelang Ramadan ini, susulan langkah intervensi yang telah diambil bagi mengatasi isu berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Sekuriti Makanan dan Operasi) Shahrizan Sudiman berkata langkah itu termasuk mendapatkan  bekalan kira-kira 640 metrik tan sebulan dari Indonesia serta Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata bekalan dari Indonesia telah bermula akhir tahun lepas, manakala Sabah dan Sarawak pula pada 20 Feb ini.

"Dari segi bekalan kelapa setakat ini FAMA telah membuat intervensi dari segi mendapatkan bekalan daripada beberapa sumber terutama dari Indonesia serta Sabah dan Sarawak.

"Pembekalan bulanan adalah sebanyak 640 metrik tan, dibekalkan ke seluruh semenanjung Malaysia. Setakat ini ia (langkah yang diambil) berjalan seperti yang dirancang," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pasar Tani ke-40 Peringkat Negeri Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Datuk Mohd Haffiz Ahmad

Shahrizan berkata isu kekurangan bekalan kelapa bermula sejak Julai tahun lepas melibatkan seluruh negara dan ia kritikal di negeri pantai timur terutama Kelantan, antaranya berpunca daripada pengeluaran melawas (buah tidak menjadi).

"Seluruh negara mengalami isu ini dan yang kritikal di Kelantan dan belah pantai timur sebab penggunaan kelapa di sana lebih banyak. Insya-Allah kita beri jaminan dari segi bekalan mencukupi dari sumber bekalan yang kita dapatkan selain buat kolaborasi dengan pengusaha dan pemborong kelapa," katanya.

Terdahulu Shahrizan berkata Jualan ‘Happy Hour’ dan Jualan Kasih Johor merupakan antara program yang diadakan bersempena Ulang Tahun Pasar Tani ke-40 yang diadakan di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini.

Beliau berkata Pasar Tani diperkenalkan pada tahun 1985 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Menteri Pertanian.

Pasar Tani pertama yang dibuka adalah di Kompleks Bilik Sejuk FAMA di Tampoi, di sini pada 31 Januari 1985.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan