KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) – Kerjasama antara agensi berita nasional Indonesia, ANTARA, dan Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) perlu diperkukuh dalam tahun-tahun mendatang, kata Pengarang Urusannya, Teguh Priyanto.
Beliau menekankan bahawa agensi berita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan pantas dalam landskap digital yang semakin kompetitif untuk mengekalkan kerelevanan mereka.
"Kita berdepan cabaran yang sama dalam dunia yang sentiasa berubah. Kerelevanan agensi berita pada masa depan adalah sesuatu yang perlu kita usahakan bersama," katanya kepada Bernama ketika menghadiri Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur hari ini.
Teguh turut menggariskan beberapa cabaran utama yang dihadapi industri media masa kini, termasuk risiko menjadi tidak relevan sekiranya mereka gagal membuat pembaharuan.
"Media hari ini berdepan banyak halangan yang boleh menyebabkan agensi berita menjadi lapuk. Kita mesti menembusi halangan ini dengan pendekatan strategik yang memastikan kita kekal relevan," katanya.
Satu daripada strategi yang diketengahkan beliau ialah integrasi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi dalam penghasilan berita.
Teguh menggesa organisasi media untuk memanfaatkan AI dalam menghasilkan kandungan yang unik dan bernilai kepada masyarakat, sekali gus membolehkan mereka terus maju dalam ekosistem media yang sentiasa berkembang.
"AI mesti dimanfaatkan. Kita perlu mencari jalan bagaimana menggunakan teknologi untuk mencipta kandungan yang bukan sahaja menarik tetapi juga memberikan maklumat dan berguna kepada masyarakat," katanya.
ANTARA, yang mengendalikan 32 biro di seluruh Indonesia, mempunyai lebih 350 pelanggan di seluruh negara. Teguh turut menekankan kepentingan mengekalkan hubungan kukuh dengan media arus perdana, yang kebanyakannya masih menjadi pelanggan ANTARA, dan menyifatkan perkara ini sebagai kelebihan utama agensi berita itu dalam penyebaran maklumat.
"Kerjasama antara agensi berita dan pelanggan mesti kukuh. Untuk mencapainya, kita perlu kekal relevan dan memperoleh kepercayaan mereka dengan menyediakan sumber berita yang boleh dipercayai," katanya.
Teguh juga menegaskan bahawa kebolehpercayaan lebih penting berbanding kepantasan, sambil mengakui bahawa keghairahan untuk menyiarkan berita segera sering membawa kepada penyebaran maklumat salah.
"Kebolehpercayaan lebih penting daripada kepantasan. Kita perlu menjadi organisasi media yang boleh dipercayai supaya masyarakat yakin kepada kita," katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memperbaharui perjanjian sedia ada dengan ANTARA, sekali gus menambah nilai kepada kerjasama yang telah terjalin.
Pembaharuan itu, yang disahkan pada Isnin (17 Feb), bertujuan mengukuhkan perkhidmatan kandungan bagi memenuhi keperluan media baharu yang semakin berkembang, dengan berita tidak lagi terhad kepada teks sahaja.
Pemeteraian kerjasama diperbaharui antara kedua-dua agensi berita itu disahkan melalui pertukaran dokumen di luar Mesyuarat Lembaga Eksekutif (EBM) OANA ke-54 yang sedang berlangsung.
Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bernama dan ANTARA sebelum ini ditandatangani pada November 2021 di Jakarta, disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semasa lawatan rasminya ke Indonesia.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Mohd Shukri Ishak, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarang.
Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Agung OANA Zaman Rezakhani, yang juga Pengarah Hubungan Antarabangsa Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA), bersama wakil dari 13 agensi berita antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial